Contoh situasi:
Rahul bekerja di syarikat X selama 3 tahun. Pada suatu hari, Rahul telah dipanggil dalam satu mesyuarat bersama pihak atasan di mana Rahul telah dimaklumkan oleh syarikat bahawa syarikat sedang mengalami penstrukturan semula dan posisi beliau di syarikat telah menjadi berlebihan. Syarikat telah menawarkan bayaran pampasan sebanyak 3 bulan gaji kepada Rahul jika dia bersetuju dengan tawaran tersebut. Rahul akhirnya menandatangani tawaran pampasan tersebut namun beliau masih tidak berpuas hati dengan alasan yang diberikan oleh syarikat bahawa posisi beliau menjadi berlebihan akibat penstrukturan semula syarikat.
Persoalannya, adakah Rahul masih boleh mengambil tindakan dan memfailkan tuntutan pemecatan tidak adil walaupun beliau sudah bersetuju dan menerima pampasan yang diberikan syarikat?
Jawapan: YA, MASIH BOLEH.
Sebab?
Isu ini sebenarnya telah diputuskan dalam Mahkamah Agung dalam kes Kumpulan Perangsang Selangor Bhd v Zaid Mohd Noh [1997] di mana Yang Arif Gopal Sri Ram JCA (pada ketika itu) telah menyatakan seperti berikut:
“Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa oleh kerana kerugian tidak pernah diplidkan, maka Mahkamah Perindustrian telah tersalah arah akan dirinya dan melakukan kesilapan undang-undang apabila ianya mendapati bahawa perayu telah mewujudkan satu kes lebihan tenaga kerja. Hakim yang bijaksana telah juga memutuskan bahawa keputusan Mahkamah Perindustrian mengenai perkara estopel adalah salah, kerana kaedah teknikal seperti estopel, penghadan atau kecuaian (laches) tidak terpakai dalam adjudikasi perindustrian. Mahkamah Tinggi, dalam keadaan sedemikian, telah membatalkan award tersebut, memberikan perintah certiorari yang dipohon, dan mengeluarkan suatu mandamus mengarahkan Mahkamah Perusahaan untuk mengadjudikasikan semula pertikaian tersebut.”
Ini bermaksud, pekerja tidak dihalang oleh kaedah teknikal seperti estoppel untuk memulakan tuntutan pemecatan tidak adil hanya disebabkan pekerja sudah pun menerima pampasan yang diberikan oleh majikan sebelum dipecat.
Keadaan ini masih terpakai walaupun dalam perjanjian pampasan telah disebutkan sekiranya pekerja tandatangan, pekerja sudah tidak boleh mengambil apa-apa tindakan terhadap syarikat. Kewujudan klausa sedemikian tetap tidak menghalang pekerja untuk mengambil tindakan terhadap majikan di Mahkamah Perusahaan.
Walau bagaimanapun, pekerja perlu ingat bahawa sekiranya tuntutan pemecatan tidak adil berjaya, Mahkamah Perusahaan akan menolak jumlah pampasan yang telah diterima oleh pekerja semasa pemecatan dari jumlah award yang diberikan di akhir kes.
Semoga bermanfaat kepada semua.
Salam
Saya dah bekerja lebih kurang 5 tahun di tempat saya bekerja sekarang. Secara tiba-tiba majikan saya menjual syarikat yang sekarang ini kepada syarikat lain. Saya berstatus pekerja tetap. Majikan baru ada mengatakan hendak menjadikan status saya kepada pekerja kontrak selama 1 tahun. Dan mungkin akan ada probation dalam masa 3 bulan. Saya ingin bertanya kepada tuan apa hak saya sebagai pekerja dalam situasi ini sebelum saya menandatangani kontrak yang dimaksudkan oleh majikan baru saya. Untuk pengetahuan nature of business tetap sama dan tiada perubahan. Cuma majikan baru adalah seorang doktor yang mempunyai syarikat sendiri dan ingin meluaskan perniagaannya sahaja. Harap tuan dapat bantu saya.