“CUBA BUNUH DIRI, TAPI TAK BERJAYA. JIKA KENA TANGKAP BETUL KE KENA DAKWA ATAS KESALAHAN JENAYAH PULA”

“CUBA BUNUH DIRI, TAPI TAK BERJAYA. JIKA KENA TANGKAP BETUL KE KENA DAKWA ATAS KESALAHAN JENAYAH PULA”

1. PERSOALAN

Benarkah jika ada individu yang cuba untuk membunuh diri, tapi tak berjaya, beliau boleh ditangkap dan didakwa pula atas kesalahan jenayah?

2. PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG

Tahukah anda bahawa di Malaysia, Undang-Undang berkaitan “Cubaan Bunuh Diri” ada diperuntukkan di dalam Seksyen 309 Kanun Keseksaan [Akta 574]

3. SEKSYEN 309 KANUN KESEKSAAN


Barang siapa mencuba melakukan kesalahan membunuh diri, dan melakukan apa-apa perbuatan pada melakukan kesalahan ini, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai setahun atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya

4. CONTOH

A bergaduh dengan kekasihnya B, A yang kecewa dan sedih disebabkan pergaduhan tersebut, cuba untuk membunuh diri dengan cubaan melompat dari bangunan tingkat tinggi. Ketika cubaan melompat, A berjaya diselamatkan oleh pihak Bomba. Tindakan A tersebut dianggap sebagai cubaan bunuh diri dan boleh didakwa dibawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan tersebut

5. KENAPA CUBAAN BUNUH DIRI DILETAKKAN SEBAGAI SUATU KESALAHAN JENAYAH?

Untuk makluman asas orang awam, Peruntukan Kanun Keseksaan (Malaysia) pada awalnya diambil dari Indian Penal Code yang mana Peruntukan Indian Penal Code tersebut pula di ambil dari English Law. Thomas Aquinas antaranya yang merupakan Ahli Falsafah, Ahli Undang-Undang dan Paderi Katolik yang memberi kesan besar pada undang-undang abad ke 12 berpendapat antara lain, membunuh diri adalah dosa, kehidupan adalah hadiah dari Tuhan dan seseorang tidak boleh mengambil nyawa orang lain, dan ini termasuklah mengambil nyawanya sendiri.

Oleh yang demikian, sepertimana cubaan membunuh orang lain adalah suatu jenayah dan ketidakadilan, maka cubaan membunuh diri juga diletakkan di dalam kedudukan yang sama.

6. PERKEMBANGAN UNDANG-UNDANG SEKSYEN 309

Walaupun bergerak di dalam tempo perlahan, Kerajaan Malaysia sejak 10 tahun kebelakangan ini mula mengiktiraf keperluan pindaan Seksyen 309 Kanun Keseksaan. Di peringat Parlimen pula, ahli-ahli Parlimen mula merujuk silang di dalam perbahasan mereka akan Laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan, Laporan dari Kementerian Kesihatan bagi perbahasan isu ini.

Setakat tahun 2019, difahamkan, Kerajaan sedang melalukan kajian dalam membandingkan pelaksanaan kesalahan cubaan bunuh diri tersebut di bawah undang-undang India, UK, Australia dan Pakistan.
Kini di India, Seksyen 309 Indian Penal Code yang mempunyai peruntukan yang sama seperti Seksyen 309 Kanun Keseksaan Malaysia di baca bersama Seksyen 115(1) dan 115(2) Mental Healthcare Act (Decriminalisation of Suicide) 2017 yang mana seseorang yang cuba untuk membunuh diri hendaklah dianggap sebagai mengalami masalah tekanan (melainkan dibuktikan sebaliknya) dan tidak boleh di hokum dibawah seksyen 309 dan pihak Kerajaan mempunyai tugas untuk memberikan pelaku tersebut rawatan, bantuan dan penjagaan untuk mengurangkan kebarangkalian cubaan membunuh diri sekali lagi.

7. PENDAPAT PENULIS


Pada pendapat saya, hukuman bagi suatu cubaan bunuh diri di bawah Seksyen 309 hendaklah diklasifikasi di dalam keadaan yang tertentu. Sekiranya tindakan bunuh diri tersebut adalah disebabkan oleh masalah tekanan mental dsb, undang-undang hendaklah mengakui dan mengiktiraf bahawa pelaku tersebut memerlukan bantuan rawatan dan bukannya hukuman.

Manakala jika tindakan bunuh diri tersebut dilakukan oleh pelaku secara konsisten dan berulang kali sehingga menyebabkan kerugian kewangan wang awam dan/atau tindakan bunuh diri tersebut dilakukan ketika suatu tindakan jenayah lain sedang dilakukan, maka hukuman sedia ada di bawah seksyen 309 adalah bersesuaian.

8. BUNUH DIRI DAN PANDEMIK COVID-19


Angka kes bunuh diri setakat Mac 2021 adalah dilaporkan sejumlah 336 berbanding 631 kes bagi tahun 2020 sepenuhnya. Rekod kes pada suku pertama tahun 2021 ini sahaja adalah sangat membimbangkan yang mana berkemungkinan besar disebabkan oleh faktor kehilangan pekerjaan, pendapatan, tempat bergantung dan tekanan sekeliling.

***Pihak JTP berharap ahli keluarga/rakan kepada mereka-mereka yang mempunyai masalah kemurungan dsb hendaklah dengan segera membantu mereka dengan membawa mereka mendapatkan rawatan di mana-mana 60 buah hospital kerajaan, 1,001 buah klinik kesihatan di peringkat kesihatan primer dan 25 buah Pusat Komuniti Kesihatan Mental (MENTARI) atau menghubungi Talian Kasih di 15999 atau Befrienders di talian 03-76272929.

***Tiada kata lain yang boleh pihak JTP titipkan melainkan doa agar Pandemik Covid-19 ini segera pulih dan semoga Tuhan meletakkan kedudukan kita dalam keadaan yang baik dan semakin baik demi hari.
Untuk perkongsian bersama, jangan lupa “LIKE” dan “SHARE” post ini ya.

Ada soalan Undang-Undang, ajukan kepada kami di JTP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *