DAH HANTAR SURAT LETAK JAWATAN, TIBA-TIBA NAK TARIK BALIK, BOLEH TAK?

Roslan (Bukan nama sebenar) bekerja di sebuah syarikat A. Roslan kemudiannya mendapat tawaran kerja di syarikat B dengan gaji yang lebih lumayan. Roslan telah menyerahkan notis letak jawatan satu (1) bulan seperti mana di dalam kontraknya kepada pihak HR syarikat A.

Sepuluh (10) hari dari tarikh akhir, tiba-tiba syarikat B ditutup akibat masalah kewangan dsb. Roslan dengan segera berjumpa dengan pihak HR Syarikat A dan maklumkan beliau menarik balik semula notis letak jawatan tersebut.

Adakah penarikan balik notis letak jawatan tersebut dibenarkan dan bolehkah beliau sambung bertugas seperti biasa?

1. NOTIS LETAK JAWATAN YANG TELAH DITERIMA OLEH MAJIKAN TIDAK BOLEH DITARIK SEMULA

Setelah sahaja pekerja menyerahkan Notis Perletakan jawatan tersebut, dan setelah mana diterima oleh majikan Roslan, secara automatik Roslan tidak mempunyai hak untuk menarik semula Notis Perletakan jawatan tersebut.

Tidak kiralah beliau menarik semula Notis Perletakan jawatan tersebut dalam keadaan sejurus atau lewat setelah Notis Perletakan jawatan tersebut diterima majikan.Kedudukan ini telah dinyatakan di dalam suatu kes klasik Riodan v. The War Office (1959) 3 All E.R. 552 yang antara lain menyatakan bahawa sekiranya seseorang pekerja telah menyerahkan notis pemberhentian kerja, maka suatu “employment” tersebut dianggap tamat dan notis tersebut tidak boleh ditarik semula oleh pekerja tersebut.

2. JIKA NOTIS LETAK JAWATAN TERSEBUT TIDAK DITERIMA OLEH MAJIKAN SECARA FORMAL, NOTIS LETAK JAWATAN TERSEBUT TETAP JUA TIDAK BOLEH DITARIK SEMULA

Terdapat suatu kes di peringkat Mahkamah Perusahaan Chong Kok Kean v Citibank Berhad [2019] 2 LNS 2290 yang mana menariknya, memutuskan bahawa hatta sekalipun notis perletakan jawatan tidak diterima secara formal oleh pihak majikan, sekiranya pihak majikan tidak bersetuju dengan penarikan notis perletakan jawatan tersebut, notis perletakan jawatan tersebut dianggap berkuatkuasa dan tidak boleh ditarik balik.

3. NOTIS PERLETAKAN JAWATAN BOLEH DITARIK SEMULA DENGAN BUDI BICARA MAJIKAN

Penarikan semula Notis Perletakan Jawatan boleh menjadi sah hanya dengan satu (1) cara sahaja, iaitu apabila majikan pada budi bicara beliau sepenuhnya bersetuju dengan penarikan semula Notis Perletakan Jawatan tersebut yang mana secara automatik membenarkan pihak Majikan untuk memutuskan sama ada: –

i) Mengekalkan Pekerja tersebut menggunapakai kontrak perlantikan yang terdahulu atau;

ii) Melantik semula Pekerja tersebut untuk bertugas di syarikat tersebut dengan kontrak perlantikan yang baharu.

Isu ini kerap kali pihak kami terima dari pihak Netizen memandangkan ramai pekerja yang berniat untuk memasuki syarikat yang baharu (dan telah berikan notis letak jawatan kepada syarikat sedia ada) namun terpaksa membatalkan niat oleh kerana syarikat baharu secara tiba-tiba menarik balik tawaran berikutan faktor kewangan semasa musim Covid dan PKP.

Apapun, sekiranya anda seorang pekerja dan ingin meletakkan jawatan di dalam keadaan sekarang untuk masuk ke syarikat baru, pastikan anda di dalam keadaan pasti bahawa syarikat baru tersebut telah memberikan kepada anda surat tawaran untuk anda tandatangani.

Ini penting untuk memastikan kedudukan anda benar-benar terjamin semasa proses pertukaran tempat kerja. Kita tidak hendak anda berada di dalam keadaan yang rugi seperti mana pepatah, “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.”

Semoga bermanfaat kepada anda semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *