Soalan:
Di tempat kerja ada kes positif Covid-19 tapi bos tetap arahkan pekerja-pekerja masuk kerja. Apa tindakan yang boleh pekerja buat?
Jawapan:
Perkara pertama yang terlintas dalam fikiran sudah pasti buat aduan atau laporan ke pihak-pihak berkaitan.
Tapi acapkali juga saya dengar bila pekerja buat tindakan macam tu, alih-alih pekerja pulak kena buang kerja.
Jadi, selain tindakan buat aduan, terdapat satu lagi pilihan tindakan yang boleh diambil oleh pekerja.
TANGGUNGJAWAB MAJIKAN UNTUK MEMASTIKAN TEMPAT KERJA ADALAH SELAMAT BUAT PEKERJA

Dalam suatu kontrak kerja antara pekerja dan majikan, ada 2 jenis terma.
Pertama, terma bertulis iaitu kontrak bertulis. Contohnya dalam surat pelantikan atau kontrak perkhidmatan yang sebut pasal gaji, jam bekerja, notis penamatan dan sebagainya.
Kedua, terma secara tersirat (implied terms). Terma tersirat ini terpakai kepada pekerja dan majikan.
Bagi pekerja, seorang pekerja itu secara tersiratnya dikehendaki melaksanakan kerjanya dengan dedikasi, cermat dan mengikut arahan. Maksudnya, perkara ini tak perlu diberitahu, kita sebagai pekerja sudah pasti faham dan tahu tanggungjawab kita sebagai seorang pekerja.
Untuk majikan pula, salah satu tanggungjawab secara tersirat yang wajib dilaksanakan oleh majikan adalah menyediakan suatu tempat bekerja yang selamat bagi pekerja-pekerja.
ADA KES POSITIF COVID-19 DI TEMPAT KERJA
Kalau ada kes positif Covid-19 di tempat kerja dan majikan tetap arahkan pekerja untuk datang bekerja, ini bermaksud majikan telah melanggar tanggungjawab secara tersiratnya.

Sebab apa?
Sebab majikan dah letakkan pekerja-pekerja dalam situasi yang membahayakan nyawa pekerja.
Pekerja-pekerja akan berisiko tinggi untuk kena Covid-19.
Tempat bekerja dah tak selamat buat pekerja-pekerja.
Bila majikan paksa juga pekerja datang kerja dalam situasi sebegini, pekerja akan mula hilang rasa yakin dan percaya kepada majikan.
APA PEKERJA BOLEH BUAT?
1. Dapatkan bukti adanya kes positif Covid-19 di tempat kerja.
2. Dapatkan bukti majikan bagi arahan masuk kerja walaupun ada kes positif Covid-19 di tempat kerja.
3. Tulis surat bantahan kepada majikan dan minta majikan betulkan situasi tersebut dengan segera.

4. Jika keadaan masih berterusan, pekerja kena letak jawatan dengan segera untuk buat tuntutan dibuang kerja secara konstruktif (constructive dismissal) di Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP).
MEMANG WAJIB KE KENA LETAK JAWATAN?
Kalau nak saman majikan di Mahkamah Perusahaan, ya kena letak jawatan.
Constructive dismissal ni maksudnya majikan dah buat sesuatu yang memaksa pekerja untuk tinggalkan pekerjaannya.
Seolah-olah majikan dah tak berminat nak terikat dengan kontrak kerja.
Perletakan jawatan kena buat dengan segera lepas perlanggaran kontrak berlaku. Tak boleh tunggu lama sangat contohnya 2, 3 bulan.
Kalau tunggu lama sangat, pekerja akan dianggap bersetuju dengan tindakan majikan.
Dalam surat perletakan jawatan, pekerja kena sebut dengan jelas yang pekerja letak jawatan sebab apa.
Contoh dalam situasi ini, majikan dah langgar terma tersirat dengan meletakkan pekerja dalam situasi yang berbahaya apabila perlu hadir bekerja walaupun ada risiko tinggi dijangkiti wabak Covid-19.
Kena letak dan nyatakan sebab ini dalam surat perletakan jawatan. Tak boleh hantar surat letak jawatan yang biasa je.
TUNTUTAN DI MAHKAMAH PERUSAHAAN
Apabila kes di bawa ke Mahkamah Perusahaan, tuntutan awal di JPP adalah pemulihan kerja.
Jika Runding Damai tidak berjaya dan kes di bawa ke Mahkamah Perusahaan, tuntutan yang boleh dibuat oleh pekerja adalah maksimum 24 bulan gaji bagi pekerja tetap dan maksimum 12 bulan bagi pekerja probationer.
Maksimum ya, bukan minimum. Maksudnya ada kemungkinan dapat lebih rendah dari jumlah itu, kalau berjaya buktikan constructive dismissal.
KESIMPULAN
Sudah tentu dalam situasi ekonomi sekarang, amat berat untuk pekerja ambil tindakan di atas.
Sebab ini bermaksud pekerja akan kehilangan pekerjaan.
Namun, letak jawatan untuk buat tuntutan constructive dismissal adalah salah satu pilihan yang ada buat pekerja.
Selain buat aduan atau laporan ke badan-badan berkaitan supaya siasatan dibuat ke atas majikan.
Apa pun, jika situasi ini terjadi, yang pentingnya kena maklumkan kepada majikan.
Nak letak jawatan atau tidak tu belakang cerita, sekurang-kurangnya bagitahu majikan dulu bahawa perkara ini adalah salah dan tidak sepatutnya dilakukan oleh majikan.
Semoga bermanfaat
tuan nak tanya kalau dari segi pembayaran gaji ot atau lebih masa tidak sama kiraan setiap bulan sebagai contoh bulan makin banyak ot semakin kurang pembayaran untuk sejam bolehkah kita ambik tindakkan keatas majikan
Salam tuan, jika tempat tersebut tidak ada kes covid19 tetapi saya tinggal di kawasan zon merah yang mempunyai banyak kes covid dan juga terdapat banyak orang dari kawasan kes covid tinggi ke tempat pekerjaan tersebut. Bolehkah majikan paksa saya hadir ke kerja?
syarikat saya kes aktif sangat banyak. syarikat tak tutup, kontak rapat diarahkan kuarantin, cukup masa masuk kerja seperti biasa walaupun kes masih ada. dah report KKM, namun syarikat tetap tidak diarahkan tutup malah boleh hire new employee lagi. saya buntu apa lagi yg boleh dilakukan supaya syarikat ambil tindakan untuk tutup supaya kes covid dapat dibendung.
Tempat kerja saya sudah 4 org positif covid termasuk saya sendiri, dan telah menjalani kuarantin di rumah, tetapi majikan masih tidak mengambil apa apa tindakan susulan malah hanya berdiam diri . Premis juga masih beroperasi seperti biasa sehingga keharini.
Salam tuan. Saya ada beberapa soalan tentang situasi penyebaran wabak Covid-19 di tempat kerja ini.
1) Sekiranya tempat kerja adalah punca penyebaran wabak Covid-19 di rumah dan disebarkan kepada ahli keluarga pekerja, bolehkah ahli keluarga pekerja tersebut menyaman syarikat itu? Ahli keluarga pekerja tersebut (ahli keluarga bekerja dari rumah) dijangkiti wabak Covid-19 setelah pekerja tersebut pulang dari tempat kerja dan ternyata ada beberapa kes penyebaran berlaku di tempat kerja tersebut. Walaupun terdapat beberapa kes telah dikenalpasti, pihak atasan masih mengarahkan mereka yang belum dijangkiti atau dengan status negatif Covid-19 untuk bekerja di pejabat seperti biasa.
2) Adakah pekerja tersebut perlu meletakkan jawatan sekiranya ahli keluarga pekerja yang secara tidak langsung dijangkiti dengan wabak Covid-19 memfailkan saman kepada syarikat tersebut?
3) Sekiranya boleh untuk memfailkan saman, apakah jenis saman yang boleh difailkan terhadap syarikat tersebut?
Terima kasih.
Saya positif covid. Dan majikan sya ada beberapa buah kedai. Saya bekerja salah satu kedai beliau. Dan saya bekerja seorang diri. Di sebelah kedai tempat sya bekerja. Terletak kedau beliau yg lain. Dan sya selalu dtng ke kedai untuk mmbuat beberapa urusan. Kkm tanya sya ada contact rapat. Dan saya bgithu nama majikan sya dan rakan sebelah kedai sya. Dan sya kena marah sebab sebut nama dia dan pekerja lain. Boleh ke saya buat aduan tanpa nyatakan nama saya .
Di nirwana hypermarket air putih terdapat manager kena covid,diminta pihak kkm buat sesuatu,dan diarahkan tutup,perkara ini boleh membahayakan masyarakat?