DILANGGAR OLEH PEMANDU MABUK, APA HAK MANGSA?

Sejak akhir-akhir ini, acapkali kita dengar kes kemalangan jalan raya yang melibatkan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol ataupun bahasa mudahnya, pemandu mabuk. Lebih tragis, ada mangsa-mangsa kemalangan ini yang kehilangan insan tersayang akibat tindakan tidak bertanggungjawab pemandu mabuk ini.

Ramai juga yang tidak berpuas hati dengan hukuman terhadap pemandu-pemandu mabuk ini dan mahukan hukuman yang lebih berat dikenakan. Namun, ada juga yang menyatakan bahawa hukuman yang ringan terhadap pemandu mabuk ini tidak adil kerana keluarga mangsa/arwah tidak mendapat pampasan daripada kemalangan tersebut. Persepsi ini yang perlu diperbetulkan.

Kenapa?

PROSIDING KES JENAYAH

Begini, pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan menyebabkan kematian boleh DIDAKWA di bawah Seksyen 41 dan 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 di mana hukuman yang boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan adalah penjara tidak kurang dari 3 tahun dan tidak lebih dari 8 tahun dan denda tidak kurang dari RM 8000 dan tidak lebih dari RM 20,000.Seksyen 41 dan 44 ini boleh digunakan oleh pihak Pendakwaan untuk mendakwa pemandu mabuk tersebut di mahkamah.

Ini adalah prosiding kes jenayah ataupun lebih tepat adalah ‘quasi-jenayah’ sebab kesalahan bukan di bawah Kanun Keseksaan. Tapi masih di bawah bidangkuasa kes jenayah.

Ya, hukuman ini memang masih terlalu ringan. Tapi untuk kita katakan hukuman tersebut ringan disebabkan keluarga mangsa/arwah tidak mendapat pampasan adalah tidak tepat dan jumlah denda tidak kurang dari RM 8000 dan tidak lebih dari RM 20,000 tu pun bukannya akan dapat kepada keluarga mangsa.

Eh, kalau macam tu lagi la tak adil kepada keluarga mangsa/arwah? Apa yang diorang dapat?

SAMAN SIVIL

Kalau keluarga mangsa/arwah nak dapatkan pampasan, mereka kenalah mulakan tindakan saman sivil terhadap pemandu mabuk tu. Inilah yang biasa kita kenali sebagai kes saman accident.

Jadi apa keluarga mangsa/arwah boleh tuntut daripada pemandu mabuk tu?

TUNTUTAN UNTUK MANGSA YANG MENINGGAL DUNIA

Sekiranya mangsa langgar meninggal, waris kepada arwah boleh tuntut antara lainnya:

1) Dependency claims

2) Bereavement RM 30,000

3) Kos pengebumian

Dependency claims tu contohnya yang meninggal adalah si suami yang bekerja menanggung perbelanjaan anak dan isteri. Jadi, isteri dan anak-anak yang masih bawah umur boleh tuntut dependency claims terhadap pemandu mabuk tu. Kiraannya ada dalam Akta Undang-Undang Sivil 1956.

TUNTUTAN UNTUK MANGSA YANG TERSELAMAT TETAPI MENGALAMI KECEDERAAN

Sekiranya mangsa terselamat tetapi mengalami kecederaan, boleh tuntut antara lainnya:-

1) Kos setiap kecederaan.

Untuk pengetahuan semua, sebenarnya untuk setiap kecederaan yang dialami, dah ada dah panduan kepada Mahkamah untuk tentukan berapa jumlah gantirugi.Boleh rujuk Revised Compendium of Personal Injury Awards 2018 untuk tahu jenis-jenis kecederaan dan jumlah gantirugi yang boleh dituntut.

2) Pain and sufferings for future surgeries (kalau ada)

3) Kos rawatan perubatan

4) Kos prosthetic

Prosthetic ni maksudnya artificial body parts lah macam tangan atau kaki palsu. Kos ni yang kadang-kadang boleh dapat sehingga berjuta.

Sebab kalau orang tu kena pakai kaki palsu, bukan dia akan pakai kaki palsu yang sama sampai ke sudah. Akan ada kos untuk tukar componen kaki palsu tu nanti untuk beberapa tahun akan datang dengan possibility harga akan makin meningkat. Mahkamah akan tengok semua tu.

5) Actual loss of earnings

Contohnya mangsa cedera dan tak dapat kerja selama 6 bulan. So Mahkamah akan kira berapa gaji dia sebulan dan darab dengan 6 bulan. Tapi kena buktikan betul-betul la gaji berapa.

6) Loss of earning capacity

Pampasan ni boleh dituntut sekiranya mangsa tidak dapat bekerja lagi disebabkan kecederaan yang dialami. Jumlah gantirugi akan dikira based on gaji mangsa dan umur mangsa.

Senarai di atas adalah sebahagian contoh tuntutan yang boleh dibuat. Ada lagi tuntutan-tuntutan lain bergantung kepada kes masing-masing.

“YANG BULAT TIDAK DATANG BERGOLEK, YANG PIPIH TIDAK DATANG MELAYANG”

Isi pentingnya sekarang adalah kita boleh lihat berapa banyak jumlah pampasan yang boleh dituntut oleh keluarga mangsa tapi dengan syarat, mangsa atau keluarga/waris mangsa sendiri kena ambil tindakan untuk mulakan saman sivil ke atas pemandu mabuk tu, lantik peguam dan sebagainya.

Tidak dapat dinafikan, tak kira berapa banyak jumlah pampasan yang dapat takkan dapat ganti kehilangan insan tersayang, tapi sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan ahli keluarga (isteri, anak-anak contohnya) yang masih perlu teruskan kehidupan.

Jadi, harap jangan terkeliru dan salah faham ye tentang hukuman di bawah kes jenayah dan tuntutan gantirugi di bawah kes saman sivil, khususnya melibatkan isu kemalangan jalan raya.

Semoga bermanfaat.

Mohamad Nasruddin Ab Rahman

Mohamad Nasruddin Ab Rahman merupakan peguam di Tetuan Nas Rahman & Co.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *