Pihak JTP selalu menerima soalan, “Tuan/Puan, kalau orang bersalah tu kena hukum penjara seumur hidup, maknanya dia akan duduk penjara sampai meninggal dunia lah, ke tak?” soalan ditanya untuk dapatkan kepastian.
Jawapannya mudah sahaja, tapi terlebih dahulu orang awam kena faham ada 2 hukuman penjara yang mempunyai makna yang lebih kurang sama jika dibaca secara kasar iaitu: –
1. HUKUMAN PENJARA SEUMUR HIDUP
2. HUKUMAN PENJARA SEPANJANG HAYAT
(1) HUKUMAN PENJARA SEUMUR HIDUP
Penjara seumur hidup ini bukanlah bermaksud pesalah dihukum penjara dari tarikh mula hukuman penjara sehingga Pesalah meninggal dunia, tetapi bermaksud suatu hukuman penjara bagi tempoh tiga puluh (30) tahun.
Kedudukan ini diterangkan secara jelas di dalam Seksyen 3, Akta Keadilan Jenayah 1953 yang menerangkan antara lain: –
“Sekiranya ada orang yang telah dijatuhkan hukuman atau selepas ini dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup, hukuman tersebut akan dianggap sebagai hukuman penjara selama tiga puluh tahun.”
*Nota tambahan: sebelum pindaan terhadap Seksyen 3 pada tahun 2007 dilakukan, hukuman penjara seumur hidup bermaksud hukuman penjara selama dua puluh (20) tahun.
(2) HUKUMAN PENJARA SEPANJANG HAYAT
Hukuman penjara sepanjang hayat atau perkataan lain bagi hukuman tersebut ialah hukuman penjara tanpa tarikh bebas.
Dalam erti kata lain, dihukum penjara selama mana tempoh hayatnya. Namun demikian, suatu tempoh hukuman penjara tersebut boleh dikurangkan (ditentukan tarikh akhir) atau pengampunan (ditamatkan hukuman penjara) melalui rayuan kepada Lembaga Pengampunan.
KESIMPULANNYA: –
Penjara seumur hidup ≠ dipenjara seumur hidup = Penjara 20 tahun atau 30 tahun (bergantung kepada bila hukuman tersebut dijatuhkan sama ada sebelum pindaan atau selepas pindaan Akta Keadilan Jenayah 1953)
Penjara sepanjang hayat = dipenjara tanpa sebarang tarikh bebas
*penerangan di atas hanyalah penerangan ringkas semata-mata untuk tujuan fahaman asas orang awam tanpa penjelasan lanjut berkaitan takrifan “penjara seumur hidup” dibawah Seksyen dan Akta-Akta khusus seperti contoh Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 dsb.
SEMOGA BERMANFAAT DARI PIHAK JTP KEPADA PEMBACA
THANK YOU ADMIN !!! SANGAT II MEMBANTU NOTE MACAM NI BAGI SIAPA YANG MINAT NAK JADI LAWYER
Perkongsian yang bermanfaat. Terima kasih