Skip to content

ISU INTERN BUKAN BURUH PERCUMA

Dalam undang – undang kontrak, ada satu prinsip kita panggil sebagai ‘quantum meruit’ yang bermaksud ‘the amount one deserves’ atau ‘as much as one has earned’.

Prinsip ini adalah cerminan kepada Seksyen 71 Akta Kontrak 1950.

Seksyen 71 Akta Kontrak 1950 sebut:

“Obligation of person enjoying the benefit of non-gratuitous act

Where a person lawfully does anything for another person, or delivers anything to him, not intending to do so gratuitously, and such other person enjoys the benefit thereof, the latter is bound to make compensation to the former in respect of, or to restore, the thing so done or delivered.”

Pandangan saya berkenaan isu ini disandarkan kepada prinsip quantum meruit seperti yang disebutkan.

Selain dari hal itu, saya juga melihat isu ini dari sudut kemanusiaan.

Betul bahawa intern tidak termasuk di bawah definisi ‘pekerja’ di bawah Undang – Undang Kerja 1955. Betul jika kita nak cakap yang intern tidak menyumbang kepada syarikat sebagaimana sumbangan pekerja. Itu tidak dinafikan.

Tapi dari apa yang saya faham dengan perjuangan para mahasiswa ini adalah supaya ada pelarasan atau ketetapan berapa bayaran minimum yang perlu dibayar kepada setiap intern.

Saya sendiri pun tak bersetuju jika syarikat wajib bayar intern sama dengan gaji minimum sekarang iaitu RM1500. Ini akan membebankan majikan. Tapi saya tiada masalah sekiranya kerajaan menetapkan bayaran minimum kepada intern. Boleh jadi RM300, boleh jadi RM500.

Takkan bayaran minimum RM300 pun kita nak berkira? Contohnya lah.

Dan bayaran minimum ini, it is not about the students want to make money.

No, it is not. It is about them to make ends meet.

Even gaji minimum RM1500 pun masih tak cukup untuk menampung kehidupan, apatah lagi bayaran yang lebih rendah dari itu?

Saya cenderung untuk menyokong isu yang dibawa oleh mahasiswa ini kerana saya tahu memang ada pelajar – pelajar yang intern bukan berdekatan dengan tempat tinggal. Yang dapat elaun tu, okaylah Alhamdulillah. Cukup tak cukup itu isu lain. Sekurang – kurangnya mereka dibayar atas kerja yang dibuat.

Kes pelajar tidak dibayar langsung pula, macam mana?

Kita tidak tahu jumlah sebenar mahasiswa – mahasiswa yang berada dalam situasi ini. Mungkin banyak, mungkin sedikit. Tetapi sekiranya golongan ini kecil sahaja dan tidak banyak bilangannya, adakah kita hendak biarkan sahaja mereka ini tanpa sebarang bantuan atau solusi?

Hanya disebabkan tempat lain ada dibayar?

Golongan inilah yang perlu dibantu; pelajar yang dapat tempat intern jauh dari tempat tinggal tetapi tidak mendapat sebarang bayaran.

Penetapan bayaran minimum adalah solusinya.

Buat perusahaan yang memang membayar elaun kepada pelajar intern, itu kita hargai, ucapkan terima kasih dan doakan supaya perniagaan semakin maju. Pelajar – pelajar yang intern di syarikat seperti ini perlulah mengambil arahan dengan bersungguh – sungguh.

Tapi saya nampak fokus di bawah isu ini adalah untuk membela pelajar yang berada dalam keadaan tertindas.

Ini yang utama.

Sebab itu saya menyokong teras isu yang dibawa oleh anak – anak muda ini.

Bagi saya mudah, kalau seseorang itu ada melakukan kerja, sama ada kerjanya sedikit atau banyak, berat atau ringan, maka dia berhak untuk dibayar.

INTERNSHIP DI PEJABAT KERAJAAN

Situasi internship di sektor kerajaan adalah berbeza sedikit kerana sudah ada surat edaran bertarikh 6.9.2019 yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan. Ini bermaksud, pelajar yang intern di pejabat kerajaan layak untuk menerima elaun sebanyak RM5.00 sejam.

Sepatutnya.

Tapi kalau sekiranya ada kes di mana pelajar yang intern di pejabat kerajaan, tak terima elaun, saya berpandangan bahawa ada tindakan yang boleh diambil oleh pelajar yang terkesan ini. Pelajar yang terkesan boleh saman pihak Kerajaan menggunakan surat edaran bertarikh 6.9.2019. Sama ada melalui Semakan Kehakiman atau saman biasa. Bising di social media is one thing but a court fight is one or two level above that.

Menang kalah, belakang cerita. Yang penting, kena cabar ketidakaturan yang berlaku. Memang tak mudah. Tapi kalau serius, inilah jalannya.

Inilah sedikit sebanyak pandangan saya berkenaan isu ini dan dari mana asalnya pendirian ini.

Saya meraikan perbezaan pendapat dengan rakan – rakan majikan yang lain dan saya faham kenapa pandangannya berlainan.

Memang ada betulnya.

Cuma saya menyeru supaya isu ini disorot menggunakan kaca mata kemanusiaan dan melihat kerumitan utama yang ingin dirungkaikan.

Saya faham kalau ada majikan yang punyai pengalaman buruk selama berdepan dengan beberapa intern tapi saya harap usahlah seorang dua yang teruk itu menyebabkan kita menolak terus hak yang lebih ramai.

Yang teruk itu kita marahlah tapi yang bagus dan ada sifat terpuji, kita lindungilah.

(Visited 795 times, 1 visits today)
0 0 votes
Article Rating
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x