Skip to content

KALAU STATEMENT AKU SALAH TAPI AKU LETAK TANDA SOAL, TAK JADI FITNAH KAN?

“Assalamualaikum bossku, ini akulah Osman (bukan nama sebenar), lama tak dengar cerita, apa khabar? Nak minta tolong sikit ni”, sapa Osman di dalam ruangan chat Facebook.

“Khabar baik Man, sihat Man? 10 tahun tak contact tiba-tiba PM ni, Nampak sangat kau sentiasa ingat aku, haha..ya apa yang boleh aku bantu Man” ujarku.

“Gini, minggu lepas aku ada komen dekat Facebook seorang usahawan ni, dia kira usahawan berjaya juga lah, dalam post dia tu dia ada iklan kan produk dia, jadi aku perhati je barang yang dia jual ni macam tak berkualiti je, jadi aku komen lah kat situ:

“ini barang tiruan je ni kan? aku tahu, sudah-sudahlah berniaga dengan cara menipu!!ye dak?”

“semalam aku terima surat tuntutan dari Peguam usahawan tu wehhh”, kata Osman lagi

“mana kau tahu itu barang tiruan? Mana kau tahu dia menipu?, sebab kalau statement kau salah dari segi kesahihannya, dibaca oleh netizen dan bagi kesan pada reputasi usahawan tu dan bisnes dia, untung-untung kau kena saman fitnah Man”, kataku

AKU AGAK-AGAK JE, LAGIPUN MANA ADA AKU FITNAH, AKU TANYA JER, KAN AKU DAH LETAK TANDA SOAL?

A. Untuk pemahaman santai kepada masyarakat awam, suatu salahlaku fitnah (tort of defamation) ini secara ringkasnya didefinasikan sebagai satu kenyataan atau perkataan atau perbuatan kepada pihak ketiga yang mana kenyataan atau perkataan atau perbuatan tersebut mengandungi fakta yang tidak benar yang kesannya menjejaskan reputasi orang yang difitnah tersebut.

B. Di Malaysia, antara Akta-Akta yang memperuntukkan undang-undang bagi isu fitnah adalah Akta Fitnah 1957 (sivil) dan Kanun Keseksaan (secara spesifik Seksyen 499)

C. Terdapat dua jenis cara bagaimana suatu fitnah tersebut boleh berlaku iaitu:-

i. Pertama, melalui libel (fitnah melalui penyataan dan sesuatu yang boleh dilihat dalam bentuk kekal sebagai contoh: gambar, teks, komen, patung, tulisan, tanda dan sebagainya);

ii. Kedua, Slander (fitnah melalui penyataan dan medium tidak kekal sebagai contoh: cakap mulut, bunyi, gerak tubuh dan sebagainya)

D. Antara elemen penting di dalam suatu kes fitnah dan perlu dipenuhi ada dinyatakan di dalam Ayob Bin Saud v TS Sambanthamurthi [1989] 1 MLJ 315 iaitu:-

i. Kenyataan tersebut mestilah berunsur fitnah;

ii. Kenyataan merujuk kepada orang yang difitnah; dan

iii. Kenyataan tersebut hendaklah didedahkan kepada pihak ketiga selain orang yang difitnah.

E. Bagi menjawab soalan utama penulisan ini, adalah wajar untuk saya terangkan secara spesifik kepada Elemen 1 : Kenyataan mestilah berunsur fitnah.

F. Sehingga kini tiada satu pun definisi yang tetap tentang apakah itu maksud imputasi fitnah, tapi secara mudahnya imputasi fitnah adalah lebih mudah untuk difahami sebagai suatu perbuatan yang mana perbuatan tersebut membawa maksud dan kemungkinan untuk merendahkan kedudukan seseorang, mendedahkan sesorang kepada kebencian orang lain terhadapnya walaupun pihak yang membacanya tidak mempercayai kenyataan tersebut.

G. Jadi jika kenyataan Osman (bukan nama sebenar) tersebut sememangnya kenyataan yang tidak benar terhadap usahawan tersebut, yang mana menyebabkan dan/atau membuka suatu ruang kepada pihak ketiga untuk meragui, mempertikai kredibiliti usahawan tersebut (walaupun tidak percaya kepada kenyataan Osman tersebut), ianya tetap jua dikira sebagai kenyataan yang kemungkinan berunsur fitnah.

H. Baik seterusnya, jika soalannya adalah sama ada Osman boleh menggunapakai alasan bahawa kenyataan tersebut hanyalah soalan semata-mata, bolehkah Osman menggunapakai simbol tanda soal (?) tersebut secara total bagi mematikan elemen pertama tersebut?

I. JAWAPAN SECARA AMNYA ADALAH, TIDAK BOLEH, terdapat beberapa kes telah membincangkan persoalan sama ada penyataan dengan tanda soal boleh menafikan suatu penyataan sebagai fitnah. Sebagai contoh di dalam kes Stem Life Berhad v Mead Johnson Nutrition (Malaysia) Sdn Bhd & Anor [2013] MLJU 1582, di mana dapatan penghakiman di dalam kes tersebut antara lain menyatakan seperti berikut:-

i. Satu kenyataan walaupun datang bersama dengan symbol tanda soal (?), tetap jua mampu membawa maksud kepada minda pembaca bahawa ada sesuatu yang tidak bermoral, tidak baik, tidak wajar telah dilakukan oleh pihak kenyataan tersebut ditujukan (yang difitnah); dan

ii. Bergantung kepada fakta sesuatu kes, suatu perkataan dan/atau ayat di dalam bentuk soalan juga boleh terbit bukan sebagai soalan semata-mata tetapi sebagai suatu kenyataan, pendapat dan komen si penulis.

*rujuk juga kes Gordon Berkeley Jones v Clement John Skelton [1963] 1 WLR 1362

J. OLEH ITU, walaupun suatu ayat itu di meletakkan tanda soal bagi menjadikan ayat itu seolah bersifat soalan semata-mata, pihak Plaintif (yang difitnah) tetap jua mempunyai hak untuk menggunapakai ayat (soalan tersebut) semasa tuntutan dibuat di Mahkamah untuk penentuan sama ada ayat (soalan tersebut) telah menerbitkan suatu pemikiran serong orang awam terhadapnya harga, diri, maruah, kedudukannya termasuk kesan ayat (soalan tersebut) terhadap ekonomi orang yang difitnah.

K. OLEH YANG DEMIKIAN, berhati-hati lah di dalam membuat suatu komen, penyataan atau tindakan terutamanya di dunia moden ini seperti di dalam media sosial yang mana pemilik akaun adalah pada setiap masa terdedah kepada liabiliti dan kebertanggungan ke atas komen dan penulisan yang dibuat.

Semoga Allah merahmati dan mempermudahkan urusan baik kita semua.

“Semoga amalan kita di dunia menjadi harapan baik dan penegak kita di akhirat kelak”

(Visited 320 times, 1 visits today)
0 0 votes
Article Rating
Subscribe
Notify of
guest
2 Comments
Most Voted
Newest Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
MOHD FAIRUZ IRWAN BIN MOHD TANIZZI

Saya memerlukan Bantuan Peguam untuk bagaimana dapat saya menfailkan saman malu @ fitnah terhadap individu yang telah menyebarkan cerita tidak sahir kepada orang lain tentang hal peribadi saya sehingga saya sekarang ini dipandang acuh tak acuh oleh ahli keluarga saya.

Harap dapat menghubungi saya ditalian 011-37634493 (En. Wan)

Jika panggilan saya tidak terjawap, sila wastup @ tinggalkan pesanan sms dahulu untuk perkenalan agar saya boleh menghubungi semula.

2
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x