KEGANASAN RUMAH TANGGA DAN HAK MANGSA DI BAWAH AKTA KEGANASAN RUMAH TANGGA

Di Malaysia, selain dari Akta Keseksaan, terdapat suatu akta khusus bagi isu-isu berkaitan keganasan rumah tangga dan perlindungan ke atas mangsa iaitu: –

Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 [Akta 521] (dibaca bersama Akta Keseksaan)

A. APA YANG DIANGGAP SEBAGAI KEGANASAN RUMAH TANGGA?

Di dalam Akta ini, Seksyen 2 menakrifan perbuatan “keganasan rumah tangga” antara lain seperti berikut: –

a. Secara bersengaja atau dengan disedarinya meletakkan atau cuba meletakkan mangsa itu dalam keadaan ketakutan dan kecederaan fizikal.

b. Menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa itu dengan sesuatu perbuatan yang sepatutnya diketahui akan mengakibatkan kecederaan fizikal.

c. Memaksa mangsa dengan paksaan atau ancaman untuk melakukan apa-apa kelakuan atau perbuatan berbentuk seksual ataupun selainnya yang mangsa itu berhak tidak melakukannya.

d. Mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaan mangsa.

e. Melakukan khianat atau kemusnahan atau kerosakan kepada harta dengan niat untuk menyebabkan atau dengan disedari bahawa ia berkemungkinan menyebabkan kesedihan atau kegusaran kepada mangsa itu. dengan cara yang menyalahi undang-undang atau

f. Dalam hal jka mangsa adalah seorang kanak-kanak, menyebabkan mangsa mengalami delusi dengan menggunakan apa-apa bahan.

g. Menyebabkan penderaan psikologi yang termasuk kecederaan emosi kepada mangsa.

h. Dengan curang menggelapkan harta mangsa yang menyebabkan mangsa itu mengalami kesedihan kerana kerugian kewangan;

i. Mengugut mangsa dengan niat untuk menyebabkan mangsa itu takut akan keselamatan dirinya atau keselamatan hartanya, takut akan keselamatan pihak ketiga, atau mengalami kesedihan;

j. Berhubung dengan mangsa, atau berhubung dengan pihak ketiga tentang mangsa, dengan niat untuk mengaibkan kehormatan mangsa itu melalui apa-apa cara, elektronik atau selainnya;”;

k. menyebabkan mangsa mengalami delusi dengan menggunakan apa-apa bahan yang memabukkan atau apa-apa bahan lain tanpa kerelaan mangsa atau jika kerelaan diberikan, kerelaan itu diperoleh dengan cara yang menyalahi undang-undang; atau

l. dalam hal jika mangsa adalah seorang kanak-kanak, menyebabkan mangsa mengalami delusi dengan menggunakan apa-apa bahan yang memabukkan atau apa-apa bahan lain,

B, PELAKU KEGANASAN RUMAH TANGGA

Akta Keganasan Rumah Tangga ini adalah terpakai bagi sesuatu tindakan Keganasan Rumah Tangga terhadap mangsa oleh pelaku yang disenarai di dalam seksyen takrifan yang sama seperti berikut:-

(i) isteri atau suaminya;

(ii) bekas isteri atau suaminya;

(iii) kanak-kanak;

(iv) orang dewasa tidak berkeupayaan; atau(v) mana-mana anggota lain keluarga;

C. TINDAKAN MANGSA/WAKIL MANGSA SEKIRANYA BERLAKU SUATU KEGANASAN RUMAHTANGGA KEPADA MANGSA.

Sekiranya terdapat mana-mana individu didapati menjadi mangsa kepada suatu keganasan rumah tangga, pihak yang menjadi mangsa dan/atau saksi kepada kejadian, dan/atau pihak yang mengetahui akan kejadian keganasan rumah tangga tersebut hendaklah membuat suau laporan polis dengan kadar segera.

Ini bagi memastikan agar suatu rekod laporan, kertas siasatan dan tindakan lanjut dapat dilakukan oleh pihak Polis. Di dalam kebanyakan kes, pihak Polis akan menghubungi dan membantu pihak mangsa untuk berhubung dengan pihak Pegawai Kebajikan Masyarakat yang terdekat dengan tempat tinggal semasa mangsa untuk bantuan dan tindakan selanjutnya.

D. HAK PERLINDUNGAN DI DALAM AKTA KEGANASAN RUMAH TANGGA

Hak mangsa bukanlah hanya sekadar mendapat bantuan rujukan kepada pihak Pegawai Kebajikan Masyarat semata-mata, tetapi hak mangsa tersebut telahpun dinyatakan di dalam Akta Keganasan Rumah Tangga tersebut.Ini termasuklah hak mangsa untuk melakukan permohonan bagi mendapatkan:-

i. Perintah Perlindungan Kecemasan di bawah Seksyen 3A

Ringkasan: Permohonan oleh mangsa dan/atau peguam mangsa dan/atau Pegawai Kebajikan Masyarakat bagi mangsa bawah umur atau tidak berkemampuan untuk suatu permohonan Perlindungan Kecemasan. Permohonan ini akan didengar di hadapan Pegawai Kebajikan Masyarakat. Ianya di panggil perlindungan kecemasan atas dasar kesegeraan prosesnya. Di dalam permohonan ini, pihak mangsa tidak perlu untuk membawa bersama apa apa laporan polis melainkan keterangan yang munasabah, berkuatkuasa, dilaksanakan dalam dua (2) jam dari waktu permohonan dan perintah (sekiranya diberikan) terpakai selama tempoh tujuh (7) hari.

Sekiranya pihak Pegawai Kebajikan Masyarakat merasakan keterangan mangsa atau melalui wakilnya adalah munasabah, maka suatu Perintah antara lain seperti berikut boleh dikeluarkan:-

a. Perintah menghalang pelaku dari melakukan keganasan rumah tangga;

b. Perintah menghalang pelaku menghasut pihak ketiga untuk melakukan keganasan rumah tangga terhadap mangsa;

c. Menghalang pelaku dari memasuki tempat perlindungan di mana mangsa diletakkan.

II. Perintah Perlindungan Interim di bawah Sekysen 4

Ringkasan:Permohonan oleh mangsa dan/atau peguam mangsa dan/atau Pegawai Kebajikan Masyarakat di Mahkamah terdekat bagi mendapatkan perintah perlindungan sementara dari apa-apa tindakan keganasan rumah tangga terhadap individu yang dipercayai pelaku.

Ia dipanggil perlindungan Interim oleh kerana, Perintah Perlindungan ini akan berkuatkuasa sepanjang tempoh pihak polis melakukan siasatan terhadap aduan mangsa/wakil mangsa.Perintah Perlindungan ini boleh menjadi perlindungan termasuk:-

a. Memberi hak ekslusif tempat tinggal dan/atau unit kediaman bagi tujuan perlindungan


b. Melarang atau menyekat individu dipercayai pelaku dari memasuki Kawasan berada dan/atau berada berdekatan dengan mangsa atau dibenarkan untuk berada dengan mangsa dengan jarak kawalan tertentu


c. Memberi hak mangsa untuk mamasuki premis di mana individu disyaki pelaku berada bagi mengambil barangan mangsa


d. Menghalang pihak individu disyaki pelaku dari menghubungi mangsa


e. Menghalang pihak individu disyaki pelaku dari menggunakan kenderaan kegunaan mangsa

f. Atau apa-apa perintah yang bersesuaian dan dirasakan patut.

Sepertimana nama interim yang bersifat sementara, perintah interim ini akan tamat kuatkuasanya apabila 3 perkara berlaku iaitu:-

a. Apabila pihak Polis menyatakan siasatan polis telah selesai dan tiada tindakan lanjut terhadap individu disyaki pelaku;

b. Apabila suatu prosiding jenayah telah dilakukan terhadap individu disyaki pelaku, dan tiada permohonan Perintah Perlindungan (Seksyen 5) dilakukan oleh mangsa setelah tujuh (7) hari selepas dimaklumkan;

c. Apabila suatu prosiding jenayah telah dilakukan terhadap individu disyaki pelaku, dan suatu permohonan Perintah Perlindungan (Seksyen 5) dilakukan oleh mangsa setelah tujuh (7) hari selepas dimaklumkan.

III. Perintah Perlindungan di bawah Seksyen 5

Ringkasan:Permohonan oleh mangsa dan/atau peguam mangsa dan/atau Pegawai Kebajikan Masyarakat di Mahkamah dan/atau Pegawai Polis di Mahkamah bagi mendapatkan perintah sepertimana yang di dalam Perintah Perlindungan Interim di atas tetapi dengan kuatkuasa perintah dan had masa yang ditentukan oleh pihak Mahkamah yang mana dirasakan sesuai waktu untuk melindungi mangsa.

E. PAMPASAN

Selain dari permohonan perlindungan seperti yang dinyatakan di atas, di bawah Seksyen 10 Akta ini, pihak mangsa juga berhak untuk menuntut antara lain seperti berikut:-

a. Pampasan ke atas kesakitan dan penderitaan emosi dan/atau fizikal;

b. Kos rawatan;

c. Apa-apa kehilangan pendapatan disebabkan isu keganasan rumah tangga tersebut; dan

d. Kos yang munasabah yang ditanggung oleh mangsa akibat perintah perlindungan dan/atau sebagainya.

F. KESIMPULAN

Oleh yang demikian, buat mangsa dan/atau saksi dan/atau pihak yang mengetahui akan suatu kejadian keganasan rumah tangga, bangkit dan bertindaklah dengan segera dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa.Ini adalah penting bagi memastikan suatu tindakan wajar oleh pihak berkuasa dapat dilakukan dengan kadar segera bagi melindungi pihak mangsa termasuklah melalui perlindungan yang telah diberikan di dalam Akta Keganasan Rumah Tangga ini.

*Pihak JTP melihat Akta Keganasan Rumah Tangga ini telah beberapa kali melalui pindaan-pindaan dan perbahasan panjang lebar di Parlimen bagi menambahbaik perlindungan dan skala perlindungan terhadap mangsa menunjukkan betapa seriusnya isu keganasan rumahtangga di Malaysia dan keperluan Akta ini bagi membantu mangsa. Terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *