KENAPA AIN DISAMAN FITNAH RM 1 JUTA ADALAH SESUATU YANG BAGUS

1. Kes Ain ni sekarang di peringkat apa?

Baru di peringkat notis tuntutan atau Letter of Demand (LOD/NOD). Belum masuk mahkamah lagi.

Notis tuntutan ni lebih kepada amaran terakhir sebelum masuk mahkamah. Kalau mana-mana pihak akur dengan tuntutan di peringkat ini, maka kes tak masuk mahkamah.

2. Apa hak kita untuk saman seseorang?

Kita memang ada hak untuk saman sivil terhadap sesiapa yang kita rasa telah mengambil hak kita.

Antara contoh saman sivil:

a. Tuntutan hutang

b. Saman fitnah

c. Perlanggaran kontrak

d. Pencerobohan tanah

e. Kecuaian professional

Jika kita adalah pihak yang terkesan dengan perbuatan seseorang sama ada dari sudut kewangan, harta ataupun kesihatan diri, maka kita mempunyai hak untuk mengambil tindakan saman terhadap individu tersebut bagi menuntut kerugian.

Dalam kes Ain ni, cikgu tersebut sedang dalam proses untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ain di bawah saman fitnah. Mungkin dia rasakan apa yang dikatakan oleh Ain adalah bersifat fitnah terhadap diri dia.

Oleh itu, cikgu tersebut memang ada hak untuk saman. Manakala, Ain pun ada hak untuk membuat tuntutan balas terhadap cikgu tersebut.

3. Boleh ke saman orang yang bawah umur?

Ya boleh, tiada masalah tapi dengan beberapa syarat:

a. Kena ada litigation representative (ibu bapa atau penjaga)

b. Wajib kena ada peguam

c. Apa-apa dokumen perlu diserahkan terus kepada litigation representative

4. Tapi Ain seorang je yang buat laporan polis, pelajar lain tak buat pun. Maksudnya apa yang Ain cakap tu tak betul la kan?

Tak semestinya. Ain buat laporan polis sebab dia rasa terkesan dengan apa yang cikgu tu cakap.

Kalau pelajar-pelajar lain nak lepaskan hak mereka untuk ambil tindakan, maka itu pilihan mereka sendiri.

Pilihan tersebut tidak boleh menafikan hak Ain untuk membuat laporan polis atau ambil tindakan undang-undang lain.

5. Ada petisyen untuk kes saman Ain ni dibuang, ada apa-apa kesan ke?

Tak. Langsung tak.

Pertikaian antara Ain dan cikgu tersebut sekarang sudah jadi kes sivil. Antara individu dengan individu.

Tiada sesiapa berhak untuk halang cikgu tersebut dari saman fitnah Ain dan tiada sesiapa juga berhak untuk halang Ain dari buat tuntutan balas.

Cuba bayangkan kalau kita nak saman seseorang sebab menceroboh tanah kita tapi tiba-tiba ada orang luar suruh kita jangan saman. Orang yang menceroboh tetap taknak keluar tapi kita pulak disuruh supaya jangan saman. Habis tu macam mana nak selesai masalah? Tak ke bengang kita nanti?

6. Apa maksud laporan polis Ain NFA? Siapa tentukan?

NFA singkatan kepada No Further Action. Kalau satu laporan polis diklasifikasikan sebagai NFA, maksudnya tiada pendakwaan akan dibuat terhadap orang yang dilaporkan untuk suatu kesalahan.

Keputusan NFA memang budibicara Pendakwa Raya. Tak boleh cabar.

7. Saman fitnah ni macam mana?

Untuk suatu saman fitnah berjaya, secara ringkasnya kena ada 3 elemen iaitu:

a. Apa yang dikatakan/ditulis adalah bersifat fitnah

b. Perkataan fitnah tu merujuk kepada kita

c. Perkataan fitnah tu disebarkan kepada pihak ketiga

8. Macam mana kita nak bela diri kalau kena saman fitnah?

Ada 2 peringkat.

Pertama kita buktikan bahawa tuntutan Plaintif gagal penuhi 3 elemen fitnah di atas.

Kedua. kita boleh gunakan beberapa pembelaan yang ada contohnya justifikasi, komen yang adil dan keistimewaan bersyarat.

9. Tak melampau ke untuk cikgu tu tuntut RM 1 juta dan Ain buat tuntutan balas RM 5 juta?

Seperti yang disebut di atas, kes ini masih di peringkat notis tuntutan. Oleh itu, kedua-dua pihak bebas nak letak apa-apa jumlah sebagai tuntutan gantirugi.

Tapi, kalau kes dah difailkan di mahkamah, sepatutnya saman fitnah tak boleh letak jumlah spesifik sebab mahkamah yang akan tentukan jumlah jika mana-mana pihak berjaya buktikan kes mereka.

Kalau nanti kes ni contohnya difailkan di mahkamah tinggi, maka kita tahulah jumlah tuntutannya adalah melebihi RM 1 juta.

Dalam kes saman fitnah, kebiasaannya jumlah pampasan akan ditentukan berdasarkan reputasi orang yang kena fitnah tu. Lagi popular dan terkenal, lagi tinggi.

10. Patut ke peguam-peguam ambil kes macam ni?

Setiap dari kita berhak untuk menegakkan hak kita di mahkamah. Dan medium untuk kita berbuat demikian adalah peguam.

Peguam bawa kes untuk diputuskan di mahkamah. Bukan peguam yang bagi keputusan. Hanya disebabkan seseorang sudah lantik peguam untuk saman, tak bermaksud semua yang dia cakap tu betul.

Sebab tu kalau kita kena saman dan kita rasa perkara ni tak betul maka kita kena bela diri kita.

Lagipun, tengok apa yang berlaku dalam kes Mohd Ridzwan Abdul Razak v Asmah Hj Mohd Nor pada tahun 2016 di Mahkamah Persekutuan.

Ini adalah kes yang membuka jalan dan menjadi asas kepada tort gangguan seksual di Malaysia. Sebelum kes ini, tiada tort gangguan seksual.

Dalam kes tersebut, pihak yang memulakan saman sebenarnya adalah Mohd Ridzwan itu sendiri yang melakukan gangguan seksual. Dia saman fitnah terhadap Asmah atas laporan yang diberikan. Bila Asmah kena saman, Asman buat tuntutan balas di bawah tort gangguan seksual terhadap Mohd Ridzwan. Mahkamah akhirnya menolak saman fitnah Mohd Ridzwan dan membenarkan tuntutan balas Asmah terhadap Mohd Ridzwan sebanyak RM 120,000.

Cuba kita bayangkan kalau tiada peguam yang nak mewakili Mohd Ridzwan untuk mulakan saman fitnah tu, boleh jadi sampai ke hari ini tiada asas prinsip undang-undang untuk tort gangguan seksual.

Perkara yang sama mungkin boleh terjadi dalam kes Ain ini, jika kes ini memang diteruskan ke mahkamah.

Yang akan mendapat kebaikan sudah pasti mangsa-mangsa kepada gangguan seksual kerana mereka dah tahu apa tindakan yang boleh diambil.

11. Jadi, apa yang bagusnya kalau Ain kena saman fitnah RM 1 juta ni?

Kita semua boleh tahu apa yang sebenarnya terjadi!

Apabila laporan polis Ain telah diklasifikasikan sebagai NFA, maksudnya tidak akan sebarang pendakwaan bawah kes jenayah terhadap cikgu tu di mahkamah.

Kalau cikgu tersebut tidak teruskan saman Ain di mahkamah sivil, maka kita sebagai orang luar dan pihak ketiga tidak akan mendapat peluang untuk mengetahui fakta kes ini secara menyeluruh dan betul.

Setakat ini, apa yang kita tahu hanyalah menerusi media sahaja.

Tapi bila suatu pertikaian di bawah ke mahkamah untuk diputuskan, maka apabila kes ini tamat nanti, orang awam akan dapat fakta kes yang rasmi dan dari sumber yang kukuh. Iaitu mahkamah itu sendiri.

Walaupun ini adalah kes saman fitnah tapi segala isu berkenaan gurauan cikgu tersebut akan dibangkitkan kerana dari situlah pertikaian bermula.

Apa yang diputuskan di mahkamah akan menjadi fakta. Siapa yang menang, siapa yang kalah nanti, itulah yang akan kekal jadi fakta. Itu hakikat yang kita kena terima.

Maka sesiapa yang cenderung kepada kedua-dua pihak sama ada cikgu tersebut atau Ain, sepatutnya anda menyokong supaya kes ini diadili di mahkamah. Biar mahkamah yang putuskan.

Ain dan cikgu tersebut akan mendapat setiap peluang untuk membela diri dan mengemukakan kes masing-masing.  

Satu lagi perkara yang berpotensi menjadi sesuatu yang positif dari kes ini adalah perkembangan prinsip undang-undang untuk tort gangguan seksual di Malaysia.

Namun, perkara ini bergantung kepada kandungan tuntutan balas yang akan dibuat oleh Ain nanti di mahkamah.

Harap dengan perkongsian ini sedikit sebanyak dapat membantu orang awam dalam memahami isu ini dari sudut pandang undang-undang yang betul.

*Ini adalah perkongsian secara umum sahaja dan tidak bersifat nasihat perundangan.

Sumber gambar: Harian Metro

Mohamad Nasruddin Ab Rahman

Mohamad Nasruddin Ab Rahman merupakan peguam di Tetuan Nas Rahman & Co.

1 thought on “KENAPA AIN DISAMAN FITNAH RM 1 JUTA ADALAH SESUATU YANG BAGUS”

  1. Terima kasih encik kerana menjelaskan banyak perkara. Saya takut dengan keadaan negara sekarang ni, orang ramai suka masuk campur dan memilih pihak tanpa sebab kukuh. Hanya kerana seorang yang kata diri dia dianiaya, semua orang akan beralih kepada mob mentality. Mereka memilih pihak yang popular dan bersependapat dengan pandangan mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *