Skip to content

KES KEMALANGAN MELIBATKAN PEMANDU MABUK/DADAH: ANTARA HUKUMAN DAN PAMPASAN GANTIRUGI

Baru-baru ini kita ada dengar suatu kes kemalangan yang melibatkan pemandu yang memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian kepada pengguna jalan raya yang lain.

Apa yang kita perlu tahu berkenaan kemalangan yang berpunca dari pemandu mabuk atau di bawah pengaruh dadah?

Saya jadikan dalam bentuk soal jawab bagi memudahkan pemahaman.

1. Akta apa yang digunakan oleh pihak pendakwaan untuk mendakwa pemandu yang mabuk/dadah yang terlibat dalam kemalangan?

Seorang pemandu mabuk atau di bawah pengaruh dadah yang menyebabkan kemalangan melibatkan kecederaan atau kematian kepada orang lain boleh didakwa di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebagai tambahan, jika seseorang tersebut tidak memandu tetapi berada dalam keadaan mabuk ketika menjaga kenderaan itu, dia boleh didakwa di bawah Seksyen 45 Akta yang sama.

Jika dia memandu sahaja dan didapati kepekatan alcohol melebihi dari kadar yang ditetapkan, pemandu tersebut boleh didakwa di bawah Seksyen 45A.

Seksyen 45 dan 45A adalah untuk situasi yang tidak melibatkan kemalangan.

2. Siapa yang melakukan pendakwaan? Pihak polis atau JPJ?

Yang sebetulnya, setiap pendakwaan akan dilakukan oleh Pendakwa Raya manakala pihak polis atau JPJ hanya menjalankan siasatan sahaja.

3. Apa hukuman untuk setiap seksyen yang disebutkan tadi?

Seksyen 44, bagi kesalahan pertama kali:

a. Penjara tidak kurang dari 10 tahun dan tidak lebih dari 15 tahun

b. Denda tidak kurang dari RM 50,000 dan tidak lebih dari RM 100,000

c. Sabitan akan diendorskan dalam lesen

d. Hilang kelayakan memandu selama 10 tahun

Kesalahan sama yang seterusnya:

a. Penjara tidak kurang dari 15 tahun dan tidak lebih dari 20 tahun

b. Denda tidak kurang dari RM 100,000 dan tidak lebih dari RM 150,000

c. Hilang kelayakan memandu selama 20 tahun.

Seksyen 45:

a. Denda tidak kurang dari RM 1,000 dan tidak lebih dari RM 5,000

b. Penjara tidak lebih dari 2 tahun

Seksyen 45A:

a. Penjara tidak lebih dari 2 tahun

b. Denda tidak kurang dari RM 10,000 dan tidak lebih dari RM 30,000

4. Soal denda, adakah denda akan dibayar kepada mangsa atau keluarga mangsa?

Tidak. Dalam kes jenayah, apa-apa denda yang dibayar oleh pelaku akan pergi kepada kerajaan Malaysia, bukannya mangsa atau keluarga mangsa.

5. Apa yang mangsa/keluarga mangsa perlu lakukan untuk dapatkan pampasan gantirugi?

Kalau mangsa atau keluarga mangsa nak dapatkan pampasan, mereka kenalah mulakan tindakan saman sivil terhadap pemandu tersebut. Inilah yang biasa kita kenali sebagai kes saman accident.

6. Mangsa/keluarga mangsa akan saman siapa dalam isu ini?

Saman akan dibuat terhadap pemandu dan juga pemilik kenderaan. Jika masa kemalangan insurans kenderaan ada, walaupun saman atas nama pemandu tapi pihak insurans yang akan mewakili pemandu tersebut.

Tapi kalau contohnya masa kemalangan pemandu tu roadtax mati dan tiada insurans, maka saman akan dilakukan terus terhadap pemandu. Dalam situasi ini, pemandu tersebut perlu melantik peguam sendiri untuk mewakilinya di mahkamah.

7. Apa beza kalau kalau insurans yang wakilkan dengan pemandu tu wakili diri sendiri?

Kelebihannya kepada mangsa/keluarga mangsa.

Kalau pemandu diwakili pihak insurans, jika mangsa/keluarga mangsa menang kes, nak dapat bayaran tu senang sebab insurans yang akan bayarkan.

Tapi kalau pemandu tiada insurans dan kena tanggung sendiri, walaupun menang kes nanti, takut susah untuk dapatkan jumlah penghakiman tu.

8. Apa jenis tuntutan yang boleh dibuat di mahkamah sivil?

Sekiranya mangsa langgar meninggal, waris kepada arwah boleh tuntut antara lainnya:

a) Dependency claims

b) Bereavement RM 30,000

c) Kos pengebumian

Dependency claims tu contohnya yang meninggal adalah si suami yang bekerja menanggung perbelanjaan anak dan isteri. Jadi, isteri dan anak-anak yang masih bawah umur boleh tuntut dependency claims terhadap pemandu mabuk tu.

Kiraan jumlah yang boleh dituntut diterangkan dalam Akta Undang-Undang Sivil 1956.

Sekiranya mangsa terselamat tetapi mengalami kecederaan, boleh tuntut antara lainnya:-

a) Kos setiap kecederaan.

Untuk setiap jenis kecederaan yang dialami, jumlah gantirugi yang akan diberikan adalah berdasarkan Revised Compendium of Personal Injury Awards 2018.

b) Pain and sufferings for future surgeries (kalau ada)

c) Kos rawatan perubatan

d) Kos prosthetic

Prosthetic ni maksudnya artificial body parts iaitu tangan atau kaki palsu. Kos prosthetic yang mangsa boleh dapat sehingga berjuta jumlah pampasan.

Kalau orang tu kena pakai kaki palsu, bukan dia akan pakai kaki palsu yang sama sampai ke sudah. Akan ada kos untuk tukar componen kaki palsu tu nanti untuk beberapa tahun akan datang dengan kemungkinan harga akan makin meningkat. Mahkamah akan tengok semua itu.

e) Actual loss of earnings

Contohnya mangsa cedera dan tak dapat kerja selama 6 bulan. So Mahkamah akan kira berapa gaji dia sebulan dan darab dengan 6 bulan. Tapi kena buktikan betul-betul la gaji berapa.

f) Loss of earning capacity

Pampasan ni boleh dituntut sekiranya mangsa tidak dapat bekerja lagi disebabkan kecederaan yang dialami. Jumlah gantirugi akan dikira based on gaji mangsa dan umur mangsa.

9. Adakah tuntutan mangsa/keluarga mangsa kepada pihak insurans boleh terjejas disebabkan kemalangan melibatkan pemandu mabuk/dadah?

Tidak.  Mangsa/keluarga mangsa tetap boleh teruskan saman sivil terhadap pemandu.

Dalam kemalangan melibatkan pemandu mabuk/dadah ini, pihak insurans mungkin akan cuba menolak liabiliti ke atas pemandu tersebut sebab biasanya dalam polisi insurans memang akan sebut pihak insurans takkan tanggung pemandu kalau kemalangan ada elemen alkohol atau dadah.

Namun, mahkamah boleh arahkan pihak insurans untuk tetap mewakili pemandu. Tapi nanti kalau insurans kena bayar kepada mangsa/keluarga mangsa, pihak insurans boleh tuntut bayaran tersebut dari pemandu pula nanti.

10. Macam mana kalau pemandu tidak disabitkan dengan pertuduhan jenayah, adakah masih boleh teruskan saman sivil?

Ya, masih boleh. Mahkamah sivil tidak terikat dengan keputusan mahkamah jenayah. Lagipun, beban pembuktian dalam kes sivil adalah berbeza dengan kes jenayah.

Kes sivil hanya perlu dibuktikan melebihi imbangan kebarangkalian [balance of probabilities] sahaja manakala kes jenayah perlu dibuktikan melampaui keraguan munasabah [beyond reasonable of doubt].

Harapnya semua soalan dan jawapan di atas bermanfaat kepada semua.


Jika ada apa-apa soalan berkenaan masalah guaman, boleh join group Facebook Soal Jawab Masalah Guaman (SJMG) di sini.

Boleh juga subscribe channel telegram Jom Tanya Peguam di sini.

(Visited 989 times, 1 visits today)
0 0 votes
Article Rating
Subscribe
Notify of
guest
3 Comments
Most Voted
Newest Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
Muhammad
Muhammad
2 years ago

Assalamualaikum,

Saya ingin bertanya, boleh ke pengakuan atau keterangan kepada polis semasa dalam tahanan siasatan (reman) untuk kes seksyen 39(b) ADB digunakan oleh pihak pendakwa sebagai bukti (evidence) di dalam makhamah?

Terima Kasih,

Ika
Ika
2 years ago

Kes saman atas jenayah kematian anak

3
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x