Skip to content

MACAM MANA NAK BUAT ADUAN KE PEJABAT BURUH

Kalau nak tahu, selepas pindaan Akta Kerja 1955 yang terbaru, semua pekerja sudah boleh buat aduan ke Pejabat Buruh! Ya, semua!

Pejabat Buruh juga biasa dikenali sebagai Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Pejabat Tenaga Kerja dan juga Mahkamah Buruh. Semua ini sama. Jangan keliru.

Ramai juga tidak tahu bahawa sebenarnya bukan pekerja sahaja yang boleh buat aduan, tapi majikan juga boleh membuat aduan ke Pejabat Buruh.

Contoh aduan yang boleh dibuat oleh PEKERJA:

  1. Gaji tertunggak
  2. Komisyen tertunggak
  3. Elaun cuti bersalin
  4. Upah kerja lebih masa
  5. Bayaran ganti notis
  6. Faedah penamatan kerja

Contoh aduan yang boleh dibuat oleh MAJIKAN:

  1. Bayaran ganti notis

Walaupun semua pekerja sudah dilindungi di bawah Akta Kerja 1955 dan dibenarkan buat aduan ke Pejabat Buruh tapi untuk mereka yang bergaji lebih RM4,000.00, tidak dibenarkan untuk buat tuntutan seperti di bawah:

  1. Bayaran kerja lebih masa
  2. Bayaran kerja hari rehat
  3. Bayaran kerja pada cuti am
  4. Elaun kerja syif
  5. Faedah penamatan kerja

Dalam penulisan kali ini, saya akan terangkan dengan terperinci bagaimana untuk kita membuat aduan ke Pejabat Buruh.

1. SEDIAKAN DOKUMEN PENTING

Sebelum pergi ke Pejabat Buruh, sebaiknya kita sediakan terus dokumen-dokumen asas bagi memudahkan urusan pegawai untuk mendengar kes kita.

Antara dokumen asas yang perlu ada:

  1. Kad Pengenalan
  2. Kontrak Kerja/Surat Lantikan
  3. Slip gaji
  4. Notis penamatan (jika ada)

Dokumen-dokumen ini akan membantu kita untuk membuat aduan secara bertulis di Pejabat Buruh nanti.

2. ADUAN SECARA BERTULIS DI PEJABAT BURUH

Mana-mana individu sama ada pekerja atau majikan yang mempunyai pertikaian mengenai kontrak kerja, perlu membuat aduan secara bertulis ke Pejabat Buruh. [Seksyen 70 Akta Kerja 1955]

Aduan boleh dibuat di mana-mana Pejabat Buruh yang terdekat dengan tempat kerja.

Semasa di kaunter, individu yang membuat aduan perlu membuat kenyataan bertulis kepada pegawai yang bertugas.

Dalam kenyataan bertulis tersebut, perlu mengandungi maklumat – maklumat berikut:

  1. Nama penuh, nombor kad pengenalan dan alamat terkini;
  2. Jawatan dan gaji bulanan
  3. Nama dan alamat majikan (sebaiknya buat carian SSM)
  4. Tarikh mula bekerja dan tempoh bekerja
  5. Fakta dan kronologi lengkap aduan yang dikemukakan
  6. Tuntutan yang ingin dibuat

Individu yang membuat aduan akan membuat kenyataan bersumpah di hadapan pegawai di mana kenyataan tersebut akan direkodkan dalam Buku Kes.

Sebaiknya, sebelum buat aduan ke Pejabat Buruh, dapatkan nasihat dan/atau khidmat peguam terlebih dahulu untuk mendraf kenyataan bertulis yang terperinci dan lengkap bagi memudahkan urusan.

Selepas kenyataan direkodkan di hadapan pegawai, individu yang membuat aduan akan diberikan salinan Kenyataan Tuntutan.

Kenyataan Tuntutan ini sama seperti laporan polis.

Kena simpan Kenyataan Tuntutan ini dan bawa bersama setiap kali perjumpaan di Pejabat Buruh.

Kenyataan Tuntutan ini juga berfungsi sebagai ringkasan kes sekiranya anda ingin melantik peguam bagi mewakili anda dalam prosiding di Pejabat Buruh. Justeru, pastikan simpan elok-elok Kenyataan Tuntutan.

Tiada sebarang caj atau bayaran dikenakan untuk buat aduan ke Pejabat Buruh.

3. SAMAN DIKELUARKAN DAN TARIKH SEBUTAN KES DITETAPKAN

Apabila aduan sudah dibuat, pihak Pejabat Buruh akan menetapkan satu tarikh bagi Sebutan Kes.

Pengadu akan diberikan notis yang akan maklumkan bila dan di mana Sebutan Kes akan diadakan manakala Majikan akan menerima Borang A iaitu Saman Defendan di mana dalam Saman tersebut akan dinyatakan jenis tuntutan Pengadu

Kedua-dua pihak perlu hadir semasa Sebutan Kes tersebut.

4. SEBUTAN KES DAN PERBINCANGAN

Kebiasaannya pada Sebutan Kes yang pertama, pihak Pejabat Buruh akan memberikan peluang kepada kedua-dua pihak untuk menyelesaikan pertikaian secara baik-baik terlebih dahulu.

Pihak-pihak boleh ambil peluang ini untuk berbincang dan mencari jalan tengah bagi menyelesaikan pertikaian.

Sekiranya tiada kata putus dimuktamadkan, Pejabat Buruh akan menetapkan tarikh Perbicaraan bagi kes tersebut. Penetapan tarikh Perbicaraan, sama ada cepat atau lambat, bergantung kepada jadual Pejabat Buruh.

5. PERBICARAAN DIJALANKAN

Pada hari perbicaraan, sekira kedua-dua pihak tidak melantik peguam, maka pihak-pihak akan mewakili diri sendiri semasa perbicaraan.

Siapa yang buat aduan akan memulakan kes terlebih dahulu dengan memberikan keterangan. Contohnya, pekerja buat aduan untuk tunggakan gaji. Jadi, semasa perbicaraan, pekerja yang akan memberikan keterangan terlebih dahulu.

Pastikan bawa dokumen-dokumen yang relevan untuk dirujuk dan susun elok-elok.

Kemudian, majikan akan menyoal balas keterangan pekerja. Selepas majikan selesai tanya soalan kepada pekerja, pegawai Pejabat Buruh pula yang akan tanya soalan.

Habis pegawai Pejabat Buruh tanya soalan, kalau pekerja tiada saksi lain, giliran majikan pula yang jadi saksi dan memberikan keterangan. Pekerja pula yang akan soal balas majikan dan seterusnya pegawai Pejabat Buruh akan tanya soalan kepada majikan.

Sekiranya majikan pun tiada saksi lain, maka perbicaraan telah selesai.

6. HUJAHAN BERTULIS

Apabila perbicaraan sudah tamat, pegawai Pejabat Buruh akan memberikan arahan kepada pihak-pihak untuk menyediakan Hujahan Bertulis.

Biasanya tempoh masa yang akan diberikan adalah seminggu atau 2 minggu daripada tarikh perbicaraan.

Kalau pihak-pihak ada peguam, peguamlah yang akan sediakan Hujahan Bertulis.

7. KEPUTUSAN KES

Selepas Hujahan Bertulis telah diserahkan kepada Pejabat Buruh, pihak-pihak akan menerima surat makluman tarikh Keputusan kes akan diberikan.

Pihak-pihak perlu hadir pada hari Keputusan dibacakan. Sekiranya tidak hadir, Keputusan masih tetap akan dibacakan oleh pegawai Pejabat Buruh dan tarikh Perintah akan ikut tarikh Keputusan dibacakan.

Salinan Perintah tetap akan diserahkan kepada pihak-pihak.

Sekiranya tuntutan Pengadu berjaya, Defendan perlulah membuat bayaran kepada Pengadu dalam masa 30 hari dari tarikh Perintah.

(Visited 713 times, 1 visits today)
0 0 votes
Article Rating
Subscribe
Notify of
guest
6 Comments
Most Voted
Newest Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
lina
lina
2 months ago

nk tanya..adakah wajib cuti pada tarikh 20 febuari 2024? majikan sy mngatakan tiada cuti..dn sruh bkerja seperti biasa? sedangkan ketua menteri melaka sudah mnyatakan 15 april di gantikan hari kemerdekaan negeri melaka?

fazly omar
fazly omar
2 months ago

Kalau majikan diarahkan membayar tunggakan gaji tapi masih liat untuk membayar seperti yang dipersetujui bagaimana? JTK telah mengarahkan pembayaran pada 31Dis23 dengan faedah 8% setahun, tetapi sehingga kini tiada bayaran diterima. adakah boleh saya bawa ke mahkamah sivil?

Last edited 2 months ago by fazly omar
Khairil
Khairil
2 months ago

Assalamualaikum…saya telah menghantar notis 1 bulan resign dan tamat pada 22hb Feb 2024.Tetapi majikan masih belum menyelesaikan gaji saya sehingga hari ini.dengan alasan masih menunggu borang lhdn.Apa tindakan saya perlu buat…adakah tindakan majikan berlandaskan akta kerja 1955?

6
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x