MENCABAR KESAHIHAN SURAT KUASA MENTADBIR HARTA PUSAKA

Contoh situasi:

Arwah Dato’ Daud merupakan seorang ahli perniagaan yang terkenal. Apabila beliau meninggal dunia, beliau meninggalkan banyak harta pusaka kepada waris-waris beliau. Isteri beliau telah meninggal 3 tahun yang lepas dan yang ada hanyalah anak-anak seramai 3 orang iaitu Zaman, Mustapha dan Rogayah.

Pada hari bicara pusaka, hanya Zaman dan Rogayah sahaja yang hadir manakala Mustapha yang tinggal di luar Negara sejak 10 tahun yang lepas tidak dimaklumkan mengenai bicara pusaka tersebut. Atas sebab itu, hanya Zaman dan Rogayah sahaja yang dinamakan sebagai waris dan seterusnya kedua-duanya dilantik sebagai pentadbir kepada harta pusaka arwah Dato’ Daud melalui satu Surat Kuasa Mentadbir.

Mustapha tidak berpuas hati dengan keadaan ini. Apa yang boleh beliau lakukan?

Sebelum kita pergi kepada solusi yang boleh dilakukan oleh Mustapha dalam situasi ini, saya akan jelaskan secara ringkas apa maksud Surat Kuasa Mentadbir dan juga Geran Probet. Biasa dengar kan?

Baik, begini. Sekiranya semasa hidupnya arwah Dato’ Daud ada meninggalkan wasiat, maka apabila dia meninggal dunia, waris kepada harta pusaka tersebut ataupun pemegang amanah yang telah dinyatakan dalam wasiat, boleh memohon Geran Probet untuk dikeluarkan bagi tujuan menguruskan harta pusaka arwah.

Tetapi, kalau arwah Dato’ Daud meninggal dunia tanpa meninggalkan apa-apa wasiat, waris-waris kepada harta pusaka beliau perlulah melantik pentadbir melalui Surat Kuasa Mentadbir bagi menguruskan harta pusaka tersebut bagi pihak waris-waris yang lain.

Secara mudahnya:

1) Ada wasiat – Geran Probet (Grant Probate)

– Perlu dipohon di Mahkamah Tinggi

2) Tiada wasiat – Surat Kuasa Mentadbir (Letter of Administration)

– Harta peninggalan melebihi RM 2 juta -> Permohonan dibuat di Mahkamah Tinggi

– Harta peninggalan kurang RM 2 juta -> Permohonan dibuat di Pejabat Tanah Unit Pembahagian Pusaka Kecil

Mudah kan?

PERMOHONAN SITASI

Untuk situasi Mustapha di atas, apa yang perlu beliau lakukan adalah membuat permohonan sitasi di Mahkamah Tinggi di bawah Aturan 72 Kaedah 7 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Untuk apa?

Permohonan sitasi ini penting untuk dibuat terlebih dahulu sebelum Mustapha mencabar kesahihan Surat Kuasa Mentadbir yang diperoleh oleh Zaman dan Rogayah. Apabila permohonan sitasi ini dibuat, Zaman dan Rogayah akan diperintahkan untuk membawa masuk Surat Kuasa Mentadbir yang asal ke Mahkamah.

Dari situ, barulah Mustapha dapat memfailkan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan terhadap Zaman dan Rogayah bagi mencabar dan membatalkan Surat Kuasa Mentadbir tersebut supaya nama beliau dapat dimasukkan juga dalam Senarai Waris-Waris dan juga sebagai Pentadbir (sekiranya beliau mahu).

Ada beberapa lagi kegunaan permohonan sitasi ini dan situasi di atas hanya merupakan salah satu contoh sahaja.

*Watak-watak di atas hanyalah rekaan semata-mata tanpa merujuk kepada mana-mana individu.

Mohamad Nasruddin Ab Rahman

Mohamad Nasruddin Ab Rahman merupakan peguam di Tetuan Nas Rahman & Co.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *