Ada rakan yang meminta saya untuk membuat sedikit ulasan mengenai kes Cikgu Fadli Salleh. Terus saya pergi ke fb Cikgu Fadli Salleh dan membaca sendiri posting yang dibuat oleh beliau.
Berdasarkan posting tersebut, mampaknya Cikgu Fadli Salleh, selaku seorang penjawat awam, sedang menghadapi satu proses tindakan disiplin dan berdasarkan surat pertuduhan tersebut, beliau boleh dikenakan hukuman buang kerja atau turun pangkat.
Dalam ulasan ini, saya tidak bercadang untuk menyentuh tentang merit pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan terhadap Cikgu Fadli Salleh namun saya akan fokus kepada prosedur tindakan tatatertib bagi penjawat awam dan apa yang perlu dilakukan selepas hukuman dikenakan.
Secara umumnya, prosedur tindakan tatatertib terhadap penjawat awam atau pekerja badan berkanun adalah seperti berikut:
𝟏. 𝐒𝐮𝐫𝐚𝐭 𝐓𝐮𝐧𝐣𝐮𝐤 𝐒𝐞𝐛𝐚𝐛 𝐝𝐢𝐤𝐞𝐥𝐮𝐚𝐫𝐤𝐚𝐧 𝐨𝐥𝐞𝐡 𝐊𝐞𝐭𝐮𝐚 𝐉𝐚𝐛𝐚𝐭𝐚𝐧
Ini adalah peringkat awal sebelum prosedur tatatertib dimulakan dan ini peringkat yang penting.
Apa penjawat awam perlu buat?
Jawab surat tunjuk sebab tersebut dalam masa yang ditetapkan dan sebaik mungkin. Berikan penjelasan dengan terperinci dan sertakan bukti, jika ada.
Jangan sekadar memohon maaf semata-mata tapi sebaliknya minta untuk berikan keterangan secara lisan melalui satu Soal Siasat Dalaman.
Sebaiknya di peringkat ini, terus dapatkan nasihat guaman dan lantik peguam untuk drafkan surat jawapan tersebut.
𝟐. 𝐏𝐢𝐡𝐚𝐤 𝐁𝐞𝐫𝐤𝐮𝐚𝐬𝐚 𝐓𝐚𝐭𝐚𝐭𝐞𝐫𝐭𝐢𝐛 𝐦𝐞𝐦𝐛𝐮𝐚𝐭 𝐩𝐞𝐧𝐞𝐧𝐭𝐮𝐚𝐧 𝐣𝐞𝐧𝐢𝐬 𝐤𝐞𝐬𝐚𝐥𝐚𝐡𝐚𝐧
Selepas surat jawapan telah dikemukakan, Pihak Berkuasa Tatatertib akan menentukan sama ada wujud kesalahan yang diadukan tersebut.
Di sini terdapat 2 kemungkinan yang boleh berlaku:
a. Penjelasan penjawat awam diterima dan tiada tindakan tatatertib akan diambil.
b. Pihak Berkuasa Tatatertib berpuas hati telah wujud suatu kesalahan.
𝟑. 𝐒𝐮𝐫𝐚𝐭 𝐏𝐞𝐫𝐭𝐮𝐝𝐮𝐡𝐚𝐧 𝐓𝐚𝐭𝐚𝐭𝐞𝐫𝐭𝐢𝐛 𝐝𝐢𝐤𝐞𝐥𝐮𝐚𝐫𝐤𝐚𝐧 𝐨𝐥𝐞𝐡 𝐏𝐢𝐡𝐚𝐤 𝐁𝐞𝐫𝐤𝐮𝐚𝐬𝐚 𝐓𝐚𝐭𝐚𝐭𝐞𝐫𝐭𝐢𝐛
Surat Pertuduhan Tatatertib yang perlu menyatakan secara spesifik jenis salah laku akan dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib.
Surat Pertuduhan Tatatertib biasanya akan diserahkan secara serahan tangan kepada penjawat awam atau diposkan ke alamat terakhir yang diketahui.
𝟒. 𝐑𝐞𝐩𝐫𝐞𝐬𝐞𝐧𝐭𝐚𝐬𝐢 𝐩𝐞𝐦𝐛𝐞𝐥𝐚𝐚𝐧 𝐝𝐢𝐫𝐢
Ini peringkat kes Cikgu Fadli Salleh sekarang. Cikgu Fadli Salleh perlu membuat surat jawapan pembelaan diri dalam masa 21 hari dari tarikh penerimaan Surat Pertuduhan Tatatertib.
𝟓. 𝐌𝐞𝐬𝐲𝐮𝐚𝐫𝐚𝐭 𝐋𝐞𝐦𝐛𝐚𝐠𝐚 𝐓𝐚𝐭𝐚𝐭𝐞𝐫𝐭𝐢𝐛
Lembaga Tatatertib akan bermesyuarat untuk menimbangkan pertuduhan yang dikenakan dan jawapan pembelaan yang diberikan oleh penjawat awam.
Kalau tiada representasi diberikan oleh penjawat awam, dia dikira tidak mempunyai sebarang pembelaan. Jadi, mustahak untuk penjawat awam yang berada dalam situasi ini untuk jawab Surat Pertuduhan Tatatertib dengan sebaik mungkin.
Lembaga Tatatertib akan memutuskan sama ada penjawat awam bersalah atau tidak terhadap pertuduhan yang dikenakan. Sekiranya tidak bersalah, penjawat awam akan dibebaskan dari pertuduhan.
Lembaga Tatatertib juga boleh memutuskan untuk menubuhkan suatu Jawatankuasa Penyiasatan dan satu Pendengaran lisan diadakan. Walau bagaimanapun, Pendengaran lisan tidak wajib diadakan oleh Lembaga Tatatertib.
Sekiranya penjawat awam didapati bersalah sama ada melalui representasi bertulis sahaja atau selepas Pendengaran lisan, keputusan tersebut perlu diberikan secara bertulis kepada penjawat awam.
𝟔. 𝐑𝐚𝐲𝐮𝐚𝐧 𝐤𝐞 𝐋𝐞𝐦𝐛𝐚𝐠𝐚 𝐑𝐚𝐲𝐮𝐚𝐧 𝐓𝐚𝐭𝐚𝐭𝐞𝐫𝐭𝐢𝐛
Penjawat awam yang tidak berpuas hati dengan keputusan Lembaga Tatatertib boleh membuat rayuan kepada Lembaga Rayuan Tatatertib.
Rayuan perlu dibuat dalam masa 14 hari dari tarikh surat keputusan diserahkan.
𝟕. 𝐌𝐞𝐬𝐲𝐮𝐚𝐫𝐚𝐭 𝐋𝐞𝐦𝐛𝐚𝐠𝐚 𝐑𝐚𝐲𝐮𝐚𝐧 𝐓𝐚𝐭𝐚𝐭𝐞𝐫𝐭𝐢𝐛
Proses yang lebih kurang sama dengan di langkah nombor 5 di atas. Mesyuarat akan diadakan bagi menimbangkan rayuan yang dibuat oleh penjawat awam.
Sekiranya rayuan diterima, penjawat awam akan dibebaskan dari pertuduhan.
Sekiranya didapati bersalah, hukuman buang kerja / turun pangkat akan dikekalkan.
𝟖. 𝐏𝐞𝐫𝐦𝐨𝐡𝐨𝐧𝐚𝐧 𝐒𝐞𝐦𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐊𝐞𝐡𝐚𝐤𝐢𝐦𝐚𝐧 𝐤𝐞 𝐌𝐚𝐡𝐤𝐚𝐦𝐚𝐡 𝐓𝐢𝐧𝐠𝐠𝐢
Sekiranya penjawat awam tidak berpuas hati dengan keputusan Lembaga Rayuan Tatatertib, penjawat awam boleh mencabar keputusan tersebut dengan memfailkan Permohonan Semakan Kehakiman di Mahkamah Tinggi.
Permohonan Kebenaran Semakan Kehakiman haruslah dibuat dalam masa 3 bulan dari tarikh keputusan tersebut diserahkan kepada penjawat awam.
Sekiranya Permohonan Kebenaran Semakan Kehakiman dibuat selepas tempoh 3 bulan tamat, penjawat awam perlu mengemukakan alasan yang kukuh kenapa terdapat kelewatan tersebut.
———————-
Begitulah sedikit sebanyak prosedur tatatertib bagi seorang penjawat awam dan yang akan dilalui oleh Cikgu Fadli Salleh dalam tempoh beberapa bulan atau tahun yang akan datang.
Saya secara peribadi mendoakan agar urusan Cikgu Fadli Salleh dimudahkan dan diteguhkan hati untuk mengharungi masa sulit ini.