Skip to content

PENGURUSAN PUSAKA SI MATI: KELIRU DAN BUNTU, INI PANDUANNYA

Sudah menjadi adat kehidupan bagi setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian. Setiap keluarga pasti mengalami kehilangan insan tersayang. Namun, dalam keadaan kita berduka dan bersedih atas pemergian insan tersayang, sebagai waris kita perlu menguruskan harta pusaka Si Mati. Bagaimana? Apa dokumen yang diperlukan? Ingin rujuk siapa? Ingin pergi ke mana? Ini panduannya InsyaAllah akan membantu anda.

  1. Kenal pasti waris Si Mati dan bahagian masing-masing.
    • Ini berkaitan dengan ilmu Faraid. Jika anda tidak pasti siapa waris yang berhak dan tidak berhak, berapa bahagian bagi setiap waris, anda boleh rujuk peguam syarie dan/atau para asatizah yang mempunyai ilmu Faraid.
    • Dapatkan Sijil Faraid daripada Mahkamah Syariah bagi penentuan waris serta bahagian masing-masing (sekiranya diperlukan).
    • Setelah mengenal pasti waris yang berhak, ajak berjumpa dan berbincang mengenai pengurusan harta pusaka Si Mati. Kesepakatan waris akan mempercepatkan proses pengurusan harta pusaka Si Mati dilakukan.
  2. Kenal pasti dan senaraikan harta Si Mati.
    • Harta Alih: Wang simpanan, saham, KWSP, PERKESO, Hibah Takaful etc.
    • Harta Tidak Alih: Tanah, Rumah, Bangunan
  3. Kenal pasti liabiliti Si Mati & pelan insurans/takaful yang cover liabiliti Si Mati.
    • Liabiliti ni maksudnya hutang lah. Kenal pasti hutang Si Mati seperti hutang kereta, rumah, kad kredit etc.
    • Sekiranya Si Mati tidak ada simpan dokumen berkaitan, telefon institusi yang berkaitan dan tanya jika Si Mati ada ambil MRTT/MLTT untuk harta-harta yang berada dalam liabiliti Si Mati.
  4. Pergi ke institusi yang berkaitan bagi mendapatkan dokumen harta Si Mati.
    • Pergi ke institusi yang berkaitan dengan harta Si Mati contohnya bank, KWSP, PERKESO, JPJ etc bagi harta alih.
    • Pergi ke pejabat tanah bagi harta tidak alih.
    • Bawa salinan original Sijil Si Mati dan dokumen asal seperti Kad Pengenalan, Sijil Kelahiran atau Sijil Nikah bagi orang yang menguruskan pengumpulan dokumen-dokumen harta Si Mati daripada institusi yang berkaitan.
    • Nyatakan kepada institusi berkaitan yang waris memerlukan dokumen yang berkaitan bagi tujuan pemfailan Surat Kuasa Mentadbit (LA) atau Perintah Pusaka Kecil.
  5. Lantik peguam bagi pemfailan untuk mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir (LA) di Mahkamah Tinggi Sivil (sekiranya harta Si Mati bernilai RM2 juta ke atas) atau Perintah Pusaka Kecil di Unit Pembahagian Pusaka Kecil (RM2 juta ke bawah).
    • Disarankan untuk guna khidmat peguam bagi memudahkan urusan.
    • Sekiranya tidak, anda boleh pergi ke Pejabat Pusaka Kecil dan/atau Mahkamah Tinggi Sivil untuk bertanya tentang prosedur permohonan atau layari laman web yang berkaitan.
  6. Lantik seorang waris sebagai Pentadbir.
    • Dapatkan kata sepakat daripada waris-waris yang berhak bagi melantik seorang waris sebagai Pentadbir untuk menguruskan harta Si Mati bagi memudahkan dan mempercepatkan urusan.
    • Lantik Pentadbir yang boleh dipercayai, jujur dan amanah.
  7. Setelah mendapat Surat Kuasa Mentadbir atau Perintah Pusaka Kecil, Pentadbir/waris yang berhak boleh bawa salinan perintah, tersebut ke institusi yang berkenaan bagi membolehkan harta Si Mati di”disburse”kan kepada Pentadbir/waris yang berhak.
    • Bawa salinan Surat Kuasa Metadbir/Perintah Pusaka Kecil, salinan original Kad Pengenalan Pentadbir, Sijil Kematian Si Mati, Sijil Kelahiran/Sijil Nikah Pentadbir bagi membolehkan urusan yang berkaitan dilakukan di institusi yang berkaitan.
    • Pentadbir hendaklah secara jujur dan amanah membuat pembahagian wang Si Mati mengikut bahagian masing-masing kepada waris-waris yang berhak.
  8. Dapatkan Perintah Pembahagian daripada Mahkamah Tinggi Sivil bagi Harta Tidak Alih (bagi yang melalui prosedur LA sahaja).
    • Perintah Pembahagian ini adalah perlu bagi urusan turunhakmilik hartanah Si Mati di Pejabat Tanah.

Suka penulis selitkan sedikit nasihat kepada Pentadbir untuk melaksanakan hak waris-waris yang berhak dan tidak memakan hak waris-waris yang berhak. Bagi pembahagian harta pula, sekiranya semua waris bersetuju dan sepakat untuk dibahagikan secara sama-rata, maka raikanlah persepakatan tersebut kerana Islam menggalakkannya. Sekiranya tidak, gunakanlah kaedah pembahagian Faraid seperti yang disyariatkan oleh Islam. Semoga panduan ini sedikit sebanyak membantu anda yang kehilangan insan tersayang.

(Visited 123 times, 1 visits today)
0 0 votes
Article Rating
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x