Skip to content

6 PERKARA PENTING DALAM PINDAAN AKTA PERHUBUNGAN PERUSAHAAN 1967 YANG PERLU PEKERJA TAHU

Untuk makluman semua, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Industrial Relations Act 1967) telah pun dipinda dan sebahagian besar pindaan telah pun berkuatkuasa pada 1.1.2021 yang lepas.

Jika ada yang masih belum tahu, Akta ini sebenarnya sangat penting kepada pekerja-pekerja kerana daripada Akta inilah yang menerangkan prosedur untuk mencabar pembuangan kerja yang dilakukan secara salah dan tidak adil. Mahkamah Perusahaan juga ditubuhkan dari Akta ini.

Terdapat banyak pindaan melibatkan hak pekerja, kesatuan kerja dan juga beberapa isu teknikal namun saya hanya akan memfokuskan kepada 6 perkara utama yang memberikan kelebihan dan kebaikan kepada pekerja.

1. RUJUKAN DARI JABATAN PERHUBUNGAN PERUSAHAAN (JPP) TERUS KE MAHKAMAH PERUSAHAAN

Ini adalah pindaan kepada Seksyen 20 (2) dan (3). Jika sebelum ini, representasi oleh pekerja akan melalui proses Runding Damai di JPP. Jika tiada penyelesaian berjaya diperoleh, kes akan dirujuk ke Menteri Sumber Manusia terlebih dahulu. Kemudian, barulah Menteri Sumber Manusia akan rujuk kes kepada Mahkamah Perusahaan.

Dengan tiadanya keperluan untuk rujuk kes ke Menteri Sumber Manusia, pihak JPP akan terus rujuk kes ke Mahkamah Perusahaan. Walau bagaimanapun, tetap ada kemungkinan JPP tidak akan rujuk kes ke Mahkamah Perusahaan. Jika ini berlaku, pekerja boleh mencabar keputusan ini melalui permohonan Semakan Kehakiman.

KEBAIKAN:

Proses tuntutan pekerja ke Mahkamah Perusahaan akan menjadi lebih cepat. Dari 3 peringkat iaitu JPP -> Sumber Manusia -> Mahkamah, sekarang tinggal 2 peringkat sahaja iaitu JPP -> Mahkamah.

2. PEKERJA DAN MAJIKAN BOLEH DIWAKILI OLEH ORANG LAIN SEMASA PROSES RUNDING DAMAI

Ini adalah pindaan kepada Seksyen 20 (6)(a)(iii) dan 6(b)(iii).Sebelum ini, semasa proses Runding Damai, pekerja hanya boleh mewakili diri sendiri ataupun diwakili oleh pegawai dari kesatuan kerja yang dimasuki.

Sekarang, pekerja dan majikan boleh melantik mana-mana individu, kecuali peguam, untuk mewakili beliau dalam Runding Damai. Dengan syarat, individu tersebut perlulah mempunyai kebenaran bertulis dari pekerja dan dibenarkan oleh pihak JPP.

Pekerja dan majikan tetap tidak boleh diwakili oleh mana-mana peguam semasa peringkat Runding Damai. Maksudnya, peguam memang tak boleh masuk dalam bilik Runding Damai tu. Walau bagaimanapun, pekerja dan majikan tidak dihalang untuk mendapatkan nasihat dan pandangan daripada peguam.

Pindaan juga dibuat untuk situasi di mana jika pekerja yang membuat representasi itu cacat mental, waris terdekat boleh membuat permohonan di Mahkamah Tinggi untuk menjadi penjaga ad-litem kepada pekerja tersebut.

KEBAIKAN:

Kebenaran untuk pekerja melantik mana-mana individu akan membantu pekerja dari sudut jika pekerja tersebut tidak mempunyai keyakinan untuk memberikan penerangan, jadi boleh lantik orang yang lebih yakin dan fasih percakapannya. Ataupun jika tarikh Runding Damai tidak sesuai dengan pekerja yang perlu pergi ke tempat lain, jadi boleh lantik orang lain untuk ganti.

Selain itu, hak pekerja yang mengalami kecacatan mental juga akan terjaga dan dilindungi jika ada penjaga yang boleh mewakili dirinya.

3. KES DI MAHKAMAH PERUSAHAAN TETAP DITERUSKAN WALAUPUN PEKERJA YANG MEMBUAT ADUAN TELAH MENINGGAL DUNIA

Ini pindaan kepada kuasa Mahkamah Perusahaan di bawah Seksyen 29. Sebelum ini, jika pekerja yang membuat aduan telah meninggal dunia, Mahkamah Perusahaan sudah tiada bidangkuasa bagi mendengar kes tersebut kerana tuntutan utama di Mahkamah Perusahaan adalah pemulihan kerja. Takkan nak suruh orang yang dah meninggal masuk kerja balik, kan?

Dengan pindaan ini, Mahkamah Perusahaan sudah pun mempunyai bidangkuasa untuk meneruskan dengan prosiding walaupun pekerja tersebut telah meninggal dunia.

Selain itu, pindaan ke atas Seksyen 30 (6B) membolehkan Mahkamah Perusahaan memberikan award pampasan kepada waris terdekat pekerja yang telah meninggal dunia.

KEBAIKAN:

Sebarang pampasan yang diperoleh dari tuntutan yang dibuat akan diberikan kepada waris terdekat. Oleh itu, ini mungkin sedikit sebanyak dapat membantu waris dan keluarga pekerja tersebut.

Walau bagaimanapun, dari sudut praktikal, perkara ini masih lagi akan menjadi satu isu khususnya jika bicara penuh masih belum dijalankan. Kerana, pihak majikan mungkin akan membangkitkan isu bahawa mereka kehilangan hak untuk menyoal balas keterangan pekerja yang meninggal dunia tersebut. Sebab, kebiasaannya dalam kes di pembuangan kerja, keterangan dari pekerja tersebut sendiri adalah paling penting. Isu ini bergantung kepada kebijaksanaan Mahkamah jika timbul kelak.

Jika pekerja tersebut hanya meninggal selepas bicara penuh telah selesai dan tunggu award sahaja, tidak ada masalah akan timbul kerana Mahkamah Perusahaan boleh memberikan pampasan tersebut kepada waris terdekat.

4. AWARD PAMPASAN AKAN DIKENAKAN FAEDAH

Ini merupakan pindaan terhadap Seksyen 30 (1) di mana Mahkamah Perusahaan diberikan kuasa untuk mengenakan faedah maksimum sebanyak 8% kepada jumlah pampasan yang diperoleh oleh pekerja bermula selepas 30 hari dari tarikh award diberikan.

Faedah hanya dikira bermula hari pertama selepas 30 hari dari tarikh award diberikan.Sebelum ini, tiada faedah dikenakan terhadap jumlah pampasan jika Majikan lewat membayar pampasan.

KEBAIKAN:

Menghalang majikan untuk sengaja melewat-lewatnya pembayaran pampasan yang telah diperoleh oleh pekerja. Dengan adanya faedah kelewatan ini, jumlah pampasan yang akan diperoleh oleh pekerja akan semakin bertambah jika majikan melewatkan pembayaran pampasan.

5. KEPUTUSAN MAHKAMAH PERUSAHAAN BOLEH DIRAYU KE MAHKAMAH TINGGI

Antara pindaan yang signifikan. Sebelum ini, apa-apa keputusan Mahkamah Perusahaan adalah muktamad dan tidak boleh dirayu ke mana-mana mahkamah.Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Perusahaan hanya boleh membuat rujukan ke Mahkamah Tinggi untuk persoalan undang-undang melalui permohonan Semakan Kehakiman (Judicial Review).

Dengan adanya seksyen baru iaitu Seksyen 33C, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati boleh membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi di mana prosedur rayuan adalah mengikut Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

KEBAIKAN:

Terdapat perbezaan yang ketara antara prosedur Semakan Kehakiman berbanding prosedur rayuan biasa di mana prosedur Semakan Kehakiman lebih rumit. Prosedur rayuan lebih mudah dan cepat. Selain itu, kos guaman untuk memulakan permohonan Semakan Kehakiman kebiasaannya lebih tinggi kerana prosedur yang lebih susah berbanding rayuan biasa ke Mahkamah Tinggi.

6. KESATUAN KERJA DIBENARKAN MEMBANGKITKAN PERKARA UMUM DALAM PERBINCANGAN DENGAN MAJIKAN

Ini melibatkan isu kesatuan kerja namun bagi saya tetap memberikan kelebihan kepada pekerja khususnya yang menjadi ahli kesatuan kerja (Trade Union).

Sebelum pindaan, isu yang boleh dibangkitkan oleh kesatuan kerja dalam perbincangan dengan majikan hanyalah mengenai kenaikan pangkat sahaja.Dengan pindaan ini, kesatuan kerja boleh membangkitkan isu-isu berikut:

a. pertukaran

b. pengambilan pekerja

c. penamatan disebabkan lebihan pekerja

d. pembuangan kerja

e. pengagihan tugas.

KEBAIKAN:

Dengan membolehkan kesatuan kerja membangkitkan isu-isu di atas dalam perbincangan, ini sudah pasti akan lebih menjaga kebajikan dan hak para pekerja yang menjadi ahli kesatuan kerja tersebut.

Semoga bermanfaat untuk semua.

(Visited 919 times, 1 visits today)
2 Thoughts on 6 PERKARA PENTING DALAM PINDAAN AKTA PERHUBUNGAN PERUSAHAAN 1967 YANG PERLU PEKERJA TAHU
    PROSEDUR DI MAHKAMAH PERUSAHAAN - Jom Tanya Peguam
    3 Feb 2021
     5:50am

    […] Boleh baca artikal tentang pindaan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 di sini […]

    0
    0
    Jai
    23 Dec 2021
     2:04pm

    Semasa rundingan damai d jpp, pihak syarikat bersetuju mengambil balik berkerja.. dengan pembayaran Hari tidak berkeja.. BOLE BUAT RAYUAN TAK? MCM X ADiL LANGSUNG bunyi nya
    Sedangkan waktu d berhentikan tiada pampasan d buat atas Alasan datang lewat pada 2018, sedangkan tahun ini 2021..

    0
    0

Leave A Comment