
Rasanya kebanyakan dari kita sudah tahu PRU ke-15 semakin menghampiri. Jadi, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk terangkan apa yang perlu kita tahu dan faham mengenai PRU ke-15 ini.
1. Apa beza PRU dan PRN?
PRU maksudnya Pilihan Raya Umum. PRU adalah untuk menentukan parti mana yang akan menjadi kerajaan Malaysia, siapa yang akan dipilih menjadi Perdana Menteri dan seterusnya siapa yang akan mengisi kabinet menteri.
Dalam PRU, kawasan yang terlibat kita panggil Parlimen. Ada sebanyak 222 kerusi Parlimen di seluruh Malaysia. Mana-mana calon yang menang dalam PRU akan menjadi ahli Dewan Rakyat. Tujuan Dewan Rakyat ini adalah untuk menggubal dasar dan undang-undang negara. Besar tanggungjawabnya.
PRN pula merujuk kepada Pilihan Raya Negeri. Dalam PRN, undian adalah untuk menentukan parti mana yang akan memimpin kerajaan negeri dan siapa yang akan menjadi Menteri Besar bagi negeri tersebut.
Mana-mana calon yang berjaya dalam PRN akan menjadi ahli DUN iaitu Dewan Undangan Negeri. Bilangan kerusi DUN adalah berbeza bagi setiap negeri.
2. Sama ke PRU 14 dulu dengan PRU 15 sekarang?
Kalau ada yang perasan, ada sedikit perbezaan antara PRU ke-14 tahun 2018 dulu dengan PRU ke-15 tahun ini.
Masa PRU ke-14, pilihan raya serentak dijalankan di seluruh negara. PRU dan PRN semua negeri dibuat pada masa yang sama kecuali Sarawak. Semasa hari pengundian tahun 2018 lepas, ada 2 kertas undi yang perlu dipangkah oleh rakyat iaitu:
a. Kertas undi untuk pilih kerusi Parlimen
b. Kertas undi untuk pilih kerusi DUN
Untuk PRU kali ini, DUN yang dibubarkan serentak dengan Parlimen adalah negeri-negeri ini sahaja:
– Pahang
– Perak
– Perlis
3. Kenapa ada DUN yang tak dibubarkan sekali dengan Parlimen?
Ada 2 sebab kenapa ada DUN di beberapa negeri tidak dibubarkan sekali dengan Parlimen:
a) PRN baru sahaja dijalankan:
– Melaka
– Johor
– Sabah
– Sarawak
DUN 4 negeri di atas tidak dibubarkan sebab PRN baru sahaja dibuat oleh setiap negeri tersebut dalam masa yang terdekat sebelum ini. Bukan sahaja tak logik untuk bubarkan balik DUN yang baru sahaja ditubuhkan tak sampai setahun tetapi juga akan membazir duit rakyat untuk buat PRN sekali dalam tempoh yang singkat.
Jadi, rakyat di negeri Melaka, Sabah, Johor dan Sarawak hanya akan mengundi untuk pilih parti mana yang akan memimpin kerajaan Malaysia. Kerajaan Negeri tak berubah.
b) Penggal masih belum tamat
– Kelantan
– Terengganu
– Kedah
– Pulau Pinang
– Selangor
– Negeri Sembilan
Maksudnya, rakyat di negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan hanya akan mengundi untuk pilih parti mana yang jadi kerajaan Malaysia sahaja. Kerajaan Negeri takkan berubah selepas PRU 15 walaupun siapa pun yang menang.
4. Jadi, ada negeri yang kena mengundi 2 kali?
Betul. Rakyat di negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan akan kena turun mengundi sekali lagi selepas September 2023 iaitu selepas penggal DUN tamat. Undian kali ini yang akan tentukan siapa yang akan jadi kerajaan negeri yang baru.
5. Parti apa yang bertanding?
Berdasarkan Kenyataan Media Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, ada 23 parti yang akan bertanding dalam PRU ke-15 ini.
1. Pakatan Harapan (PH) – 322 kerusi Parlimen dan DUN
2. Barisan Nasional (BN) – 295 kerusi Parlimen dan DUN
3. Perikatan Nasional (PN) – 265 kerusi Parlimen dan DUN
4. Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) – 161 kerusi Parlimen dan DUN
5. Parti Warisan Sabah (Warisan) – 70 kerusi Parlimen dan DUN
6. Gabungan Parti Sarawak (GPS) – 31 kerusi Parlimen
7. Parti Islam Se Malaysia (PAS) – 22 kerusi Parlimen
8. Parti Rakyat Malaysia (PRM) – 17 kerusi Parlimen dan DUN
9. Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – 13 kerusi Parlimen
10. Parti Sarawak Bersatu (PSB) – 10 kerusi Parlimen
11. Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) – 9 kerusi Parlimen
12. Demoratic Action Party (DAP) – 8 kerusi Parlimen
13. Parti Bangsa Malaysia (PBM) – 7 kerusi Parlimen dan DUN
14. Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) – 7 kerusi Parlimen
15. Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) – 6 kerusi Parlimen
16. Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) – 3 kerusi Parlimen
17. Parti Sosialis Malaysia (PSM) – 2 kerusi Parlimen dan DUN
18. Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) – 2 kerusi Parlimen dan DUN
19. Parti Bumi Kenyalang (PBK) – 1 kerusi Parlimen
20. Parti Utama Rakyat (PUR) – 1 kerusi Parlimen
21. Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) – 1 kerusi Parlimen
22. Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR) – 1 kerusi Parlimen
23. Calon Bebas – 132 kerusi Parlimen dan DUN
6. Bila tarikh mengundi PRU15?
Tarikh mengundi telah ditetapkan pada 19.11.2022 iaitu hari Sabtu. Bagi sesiapa yang sudah layak, turunlah mengundi.
_____________________________________________
Kalau korang ada apa-apa lagi yang nak tahu pasal PRU15, boleh tinggalkan di ruangan komen.
Semoga bermanfaat dan selamat mengundi.