1. Tahukah anda bahawa sekiranya anda merupakan pencarum Perkeso, memenuhi krateria dan kelayakan yang ditetapkan, sekiranya anda mengalami suatu “bencana kerja”, anda layak untuk mendapat manfaat Skim Perlindungan di bawah Seksyen 4 Akta Perkeso.
2. Antara faedah skim bantuan di bawah Skim Bencana Perkerjaan adalah seperti berikut: –
a. Faedah Perubatan
b. Faedah Hilang Upaya Sementara
c. Faedah Hilang Upaya Kekal
d. Elaun Layanan Sentiasa
e. Kemudahan Pemulihan Jasmani / Vokasional / Return to Work (RTW)
f. Faedah Orang Tanggungan
g. Faedah Pengurusan Mayat
h. Faedah Pendidikan
3. Untuk penulisan kali ini, pihak JTP secara spesifik memberi focus untuk menerangkan fahaman asas iaitu: –
“APA ITU “BENCANA KERJA”?
4. Peruntukan berkaitan bencana kerja telah dinyatakan di dalam Seksyen 2(6) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 antara lain seperti berikut: –
“2. Takrif
(6) “bencana kerja” ertinya bencana pada seorang pekerja sendiri disebabkan oleh kemalangan atau suatu penyakit khidmat yang terbit daripada dan dalam masa menjalankan pekerjaannya dalam sesuatu perusahaan yang terhadapnya Akta ini terpakai;”
5. Bahasa mudahnya, sekiranya anda mengalami kecederaan, kemalangan, atau mengalami penyakit yang berkaitan dengan tugasan, jawatan anda, dan perkara tersebut yang dianggap sebagai bencana tersebut berlaku semasa anda di dalam pelaksanaan kerja anda. Maka secara amnya anda layak untuk membuat tuntutan di bawah skim “Bencana Kerja”.
CONTOH
6. Untuk contoh mudah, A adalah seorang kontraktor pembinaan. Suatu bencana kerja boleh terjadi dan dituntut oleh A sekiranya:-
a. A kemalangan semasa hendak pergi ke tapak pembinaan;
b. A ditimpa kecelakaan ketika di tapak pembinaan disebabkan kecuaian orang lain, sebagai contoh A ditimpa Batu/Atap/Kayu dari ringkas atas sehingga menyebabkan beliau cedera;
c. A ditimpa kecelakaan ketika di tapak pembinaan disebabkan tindakan tidak sengaja beliau sendiri, sebagai contoh terputus jari ketika menggunakan grinder kayu;
d. A ditimpa kemalangan ketika dalam perjalanan untuk ke kedai makan untuk makan tengahari (dengan syarat di kawasan munasabah jarak dan pada ketika waktu rehat yang dibenarkan;
e. A ditimpa kecelakaan ketika cuba menyelamatkan rakan sekerja beliau yang berada dalam kecemasan di tempat kerja;
f. A cedera semasa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumah kediaman; dan/atau
g. Setelah beberapa tahun bekerja, dan terdedah dengan aktiviti mengangkat alatan dan/atau bahan kerja pembinaan, sebagai contoh, batu bata, besi kayu piling, mesin jentera dsb, A mengalami suatu masalah kesihatan berkaitan tulang belakang sebagai contoh disc degenerative condition.
7. Maka A berhak untuk lakukan semakan dengan pihak doktor untuk pengesahan kondisi kesihatan tersebut dan cuba memohon suatu bantuan di bawah skim bencana di bawah keadaan penyakit khidmat.
8. Cuma sekadar makluman sampingan, elemen “Bencana Kerja” di bawah Seksyen 2(6) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 tersebut juga telah dijelaskan lebih lanjut di dalam kes Ketua Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial v Gow Soo Tan [2004] 3 CLJ yang mana, Yang Arif Hakim Sulaiman Daud di dalam penghakimannya menyatakan 3 elemen yang perlu dipenuhi bagi tuntutan faedah di bawah skim bencana kerja seperti berikut:-
1. Kecederaan itu hendaklah terbit dari pekerjaannya;
2. Kecederaan itu hendaklah terbit pada masa pekerjaan tersebut dijalankan; dan
3. Pekerjaannya itu adalah satu perusahaan yang mana Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 tersebut terpakai.
9. Oleh yang demikian, sekiranya terdapat apa-apa kemalangan dan atau kecelakaan yang menimpa diri anda pada masa anda melakukan tugasan, anda hendaklah dengan segera memaklumkan kecelakaan tersebut Majikan anda dengan kadar segera. Merujuk kepada pihak doktor dan dapatkan salinan laporan rawatan, merujuk semula keadaan dan situasi penuh anda dengan perkara yang disebutkan di atas dan cubalah lakukan permohonan dengan pihak PERKESO untuk semakan lanjut.
Nota:-
*Untuk penulisan akan datang, pihak JTP akan terangkan secara ringkas kaedah dan prosedur untuk permohonan di bawah Skim Bencana Kerja.
*Penulisan ini tidak bertujuan untuk menjadi wakil penerangan kepada pihak PERKESO melainkan perkongsian secara am semata-sama berdasarkan pengalaman kes-kes yang telah dikendalikan oleh pihak JTP di peringkat rayuan di Mahkamah Tinggi.
*Penulisan ini tidak bertindak sebagai suatu nasihat guaman yang mengikat pihak-pihak sebagai Peguam dan anakguam.
Semoga memberi manfaat walaupun sedikit.
Perkongsian dan ilmu perundangan awam? Anda boleh baca entri lain kami di Jom Tanya Peguam di pautan https://www.facebook.com/jomtanyapeguam
Hi JTP,
Saya mempunyai seorang bapa saudara yang meninggal akibat daripada penyakit khidmat. Bapa saudara saya ialah seorang tukang kayu. Beliau selalu terdedah kepada habuk dan bahan kimia di tempat kerja. Beliau meninggal dunia selepas seminggu masuk ke hospital kerajaan. Beliau tidak pernah mendapat rawatan daripada mana-mana klinik atau hospital kerana kemiskinan keluarganya. Apabila beliau berasa sangat menderita, barulah beliau masuk ke hospital kerajaan. Hospital kerajaan tidak dapat memberitahu keluarganya bahawa apakah penyakit yang dihidapi. Setelah seminggu di hospital, beliau meninggal dunia dan doktor mengesahkan bahawa sebab kematiannya adalah aspirasi pneumonia. Berdasarkan situasi di atas, bolehkah keluarga beliau memohon Skim Bencana Pekerjaan dan mendapat Faedah Orang Tanggunggan ? Sekiranya boleh, apakah prosedur atau dokumen yang diperlukan untuk permohonan?