Di dalam kehidupan berjiran, semestinya kita mengharapkan jiran yang baik, bertolak ansur, dan saling bantu membantu. Kerana kita hendak hidup bersebelahan bukan untuk tempoh masa 2 atau tiga hari, tetapi bertahun, boleh jadi menjadi jiran rumah sepanjang hayat.
Namun, tak semua jiran wujud dalam bentuk dan sifat yang kita harapkan. Hari ini Jom Tanya Peguam nak kongikan isu berkaitan jiran yang pihak Jom Tanya Peguam selalu terima: –
SITUASI:-
“Salam Tuan, saya tinggal di perumahan dan dihadapan rumah saya ada satu parit/longkang kecil yang menyalurkan air ke parit/longkang besar. Jiran saya tak suka bila air yang mengalir yang membawa bersama sampah dan daun kering lalu di kawasan longkang hadapan rumah beliau, apa beliau buat, beliau pasang jeriji besi/dawai untuk sekat sampah dan daun kering tersebut.
Akhirnya semua sampah sarap berkumpul di longkang rumah saya sehingga menyebabkan saluran air tersumbat dan masuk ke kawasan parking rumah saya.”
“Sudahkah Puan berbincang dengan jiran Puan tersebut?” Tanya pihak kami. “Ya, tapi beliau memaki dan mengugut saya untuk tutup terus longkang tersebut dengan simen”.
ISU SEKATAN LONGKANG OLEH JIRAN DISUDUT PERUNDANGAN.
Untuk maklumat orang awam, tindakan pihak jiran tersebut yang membuat sekatan di longkang rumah beliau (longkang awam) tanpa kebenaran pihak berkuasa adalah dianggap sebagai suatu kesalahan kacau ganggu.
Kesalahan kacau ganggu jenis ini diperuntukkan dibawah beberapa peruntukan undang-undang Malaysia iaitu: –
1. Seksyen 46(1)(a) dan 46(2)(b) Akta Jalan, Parit, dan Bangunan 1974 [Akta 133] yang antara lain memperuntukkan seperti berikut :-
(a) membina, menegakkan, mendirikan atau menyenggara atau membenarkan dibina, ditegakkan, didirikan, atau disenggara sesuatu tembok, pagar, susur, tiang atau apaapa himpunan sesuatu benda, atau halangan lain, di manamana tempat awam;
(b) tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada pihak berkuasa tempatan menutup atau menghalang sesuatu parit terbuka* atau akuadak di sisi mana-mana jalan;
yang mana merupakan suatu kesalahan boleh ditangkap tanpa waran oleh pihak polis atau pegawai tempatan, dibawa ke Mahkamah Majistret dan jika sabit kesalahan dedenda tidak lebih RM 500.00 dan tidak lebih RM 1,000.00 untuk kesalahan kali kedua dan kemudiannya.
Pada masa yang sama di bawah Seksyen 46(2) akta yang sama, sebarang kos pembukaan sekatan tersebut boleh diletakkan ke atas pelaku (pemilik) yang meletakkan dan menyebabkan sekatan tersebut.
2. Sekiranya tindakan kacau ganggu jiran tersebut memberi kesan kepada kejiranan pada skala yang lebih besar, maka suatu kacau ganggu awam tersebut boleh menjadi suatu kesalahan jenayah. Seksyen 89 (1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] antara lain memperuntukkan bahawa Majistret mempunyai kuasa untuk memerintahkan pelaku untuk mengalihkan suatu sekatan tersebut.
Sekiranya gagal untuk mematuhi perintah tersebut yang mana kacau ganggu tersebut menyebabkan sekatan, gangguan dan atau kecederaan, pelaku boleh dihukum penjara tidak lebih dari 1 bulan atau dendan sehingga RM 200.00 atau kedua-duanya di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan (Akta 574].
Isu longkang tersumbat disebabkan tindakan jiran yang memasang jaring di longkang mungkin dianggap kecil, tapi ketahuilah bahawa pihak yang terkesan di atas kacau ganggu tersebut pada setiap masa mempunyai hak untuk:-
1. Melakukan laporan polis di Balai Polis atas dakwaan kacau ganggu; dan/atau
2. Melakukan laporan dan/atau aduan di Pihak Berkuasa Tempatan; dan/atau
3. Melantik Peguam dan memulakan suatu tindakan saman sivil atas kesalahan kacau ganggu (nuisance) di Mahkamah.
Sebagai nasihat secara am untuk individu yang hidup dalam kejiranan, bertimbang rasa dan bertolak ansurlah sesama kejiranan. Bukankah jiran yang tidak menyakiti jiran yang lain, dan berkasih sayang berlandaskan batas hak yang sesuai dapat mewujudkan suatu kejiranan yang bahagia.
SEMOGA TUHAN MEMBERIKAN JIRAN YANG BAIK BUAT KITA SEMUA.
*Penulisan ini hanyalah suatu pendapat pihak Penulis semata-mata dan tidak bersifat nasihat guaman dan/atau mengikat pihak Penulis dan Pembaca sebagai Peguam dan anakguam.
*Gambar hanyalah contoh semata-mata dan tidak merujuk kepada mana-mana pihak.
ADA SOALAN UNDANG-UNDANG YANG DAH LAMA TERPENDAM? JOM TANYA PEGUAM.
Salam…saya nak bertanya. Saya ada tanah yang mempunyai sumber air mata semulajadi, dan kolam ini ada saliran sendiri yang mengalirkan sendiri ke rizab parit yang disediakan.
Apa yg berlaku ialah, jiran di tanah sebelah telah membuat kerja-kerja tambakan tanah. Kami dah pun memaklumkan kepada jiran, tapi jiran buat tak kisah. Hasil perbuatan tersebut menyebabkan rizab parit tu rosak, serta saliran air rosak. Akibatnya, kolam kami “overflow: dan menyebabkan hakisan tanah di kawasan lain malah merosakkan jalan masuk ke tanah kami.
Kami telah memaklumkan kepada tuan tanah untuk membina saliran air baru, sebaliknya dia tambak tanah lebih tinggi dari kawasan kami, semata2 nak menutupi kesan overflow tersebut. Namun kolam kami tetap tiada saliran air. Akta mana boleh melindungi hak kami?
Assalamualaikum peguam, saya selaku jiran yang meletak jaring kerana tidak tahan dengan jiran yang membuang sampah seperti plastik kotak rokok yang berkotak2. Sampah tersebut akan berkumpul di “sump” rumah saya. Sekiranya hujan lebat baru sampah tersebut akan mengalir. Adakah keadaan seperti ini adalah kesalahan saya sebagai jiran yang meletak jaring semata2. Bagaimana pula jiran yang suka membuang sampah ke dalam perairan. Malahan air dari singki jiran turut masuk ke perairan menyebabkan longkang berminyak. Sudahlah dengan masalah longkang yang xmengalir, dengan nyamuk lagi. Membuatkan ia menjadi semak mata. Pihak pbt pula, seakan2 tidak mengambil tindakan, malah jalan masuk taman rumah saya sudah 3 tahun diadukan kepada majlis, masih tiada tindakan. Menurut mereka tunggu bajet. Sekian luahan hati jiran tertangga 😭
Assalamualaikum..saya tinggal di kejiranan semi D yang mana,rumah saya paling hujung dan ada jalan tar di hujung jalan..baru2 ini ada rumah yg dibina di hujung jalan..tanah ditambak tinggi melebihi jalan tar lebih kurang 1kaki…rumah tersebut tiada rezab jalan..baru2 ini juga jiran tersebut buat tambak di hujung jalan untuk membolehkan beliau menggunakan jalan tar yang sedia ada…bila hujan,air dari tanah selut mengalir ke longkang dan bertakung di hadapan rumah.. bolehkah saya adu kan ke majlis perbandaran berkenaan hal diatas…apakah tindakan akan diberi..terima kasih
Salam Sejahtera,
Kalau Jiran belakang telah renovate rumah mereka sampai tutup longkang awam.
Adakah ia salah di sisi undang-undang.